DAMSYIK: Hayat Tahrir Al-Sham (HTS), yang menerajui kemaraan pejuang di seluruh Syria barat, dahulunya merupakan sekutu Al-Qaeda yang dikenali sebagai Barisan Nusra sebelum pemimpinnya, Abu Mohammed al-Julani memutuskan hubungan dengan gerakan jihad global itu pada 2016.
Kerajaan Barat, yang menjauhkan dari negara pimpinan Bashar al-Assad selama bertahun-tahun, perlu memutuskan cara menangani pentadbiran baharu apabila HTS kelihatan mempunyai pengaruh kuat walalupun ia disenaraikan sebagai kumpulan pengganas di peringkat global.
Sebagai pengasas HTS, al-Julani berusaha hampir sedekad untuk memisahkan dirinya daripada pasukan bersenjata lain, sebaliknya menumpukan perhatian kepada pembentukan ‘republik Islam’ di negara itu.
Sejak 2016, al-Julani dan kumpulan itu berusaha meletakkan dirinya sebagai pihak boleh dipercayai dalam menjaga Syria yang bebas daripada cengkaman Bashar, yang menindas kejam kebangkitan rakyat semasa Arab Spring pada 2011, menyebabkan perang berterusan sehingga kini.
HTS menguruskan wilayah Idlib melalui Kerajaan Penyelamat Syria, yang ditubuhkan pada 2017 untuk menyediakan perkhidmatan awam, pendidikan, penjagaan kesihatan, badan kehakiman dan infrastruktur serta mengurus kewangan dan pengagihan bantuan.
Bagaimanapun, HTS turut memerintah dengan cara yang tegas dan tidak bertolak ansur dengan perbezaan pendapat, berdasarkan laporan aktivis, media serta pemantau tempatan.
Al-Julani dilahirkan dengan nama Ahmed Hussein al-Sharaa pada 1982 di Riyadh, Arab Saudi.
Bapanya bekerja sebagai jurutera petroleum.
Pada 2006, beliau pernah ditangkap oleh pasukan Amerika Syarikat (AS) selama lima tahun.
Beliau kemudian diberi tugas untuk menubuhkan cawangan al-Qaeda di Syria, Barisan al-Nusra, yang mengembangkan pengaruh di kawasan dikuasai pembangkang, terutama Idlib.
Pada Julai 2016, Aleppo jatuh ke tangan rejim Bashar dan kumpulan bersenjata mula berpindah ke Idlib yang masih dikuasai pembangkang,
Ketika itu, al-Julani mengumumkan kumpulannya menukar nama kepada Jabhat Fateh al-Sham.
Menjelang awal 2017, ribuan pejuang membanjiri Idlib setelah melarikan diri dari Aleppo dan al-Julani mengumumkan gabungan dengan beberapa kumpulan lain untuk membentuk HTS. -ALJAZEERA