mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Tiada angin atau ribut secara tiba-tiba bertiup kencang pula terdapat sebuah pasukan gergasi Liga Super bakal menarik diri daripada saingan kompetitif pada musim depan.
Walaupun tiada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkaitan, namun khabar angin itu kini mula menjadi bualan penyokong bola sepak tanah air yang terkejut mendengar berita itu.
Difahamkan, pasukan terbabit yang pernah menjulang Piala Malaysia dan bergelar juara Liga Super menghadapi masalah kewangan kronik sekali gus mempertimbangkan untuk tidak lagi bertanding.
Malah, dikhabarkan juga pasukan terbabit sudah menghantar surat kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk tidak lagi meneruskan perjuangan dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).
Walaupun kelab yang dimaksudkan masih belum dapat dipastikan, dakwaan tersebut mencetuskan kebimbangan mengenai masa depan beberapa pasukan Liga M.
Isu kewangan dan tunggakan gaji yang dihadapi pasukan sudah lama bersarang dalam kancah Liga M dan penyakit itu dilihat semakin parah musim ini apabila turut menyerang beberapa pasukan ternama sebelum ini membabitkan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Kuala Lumpur City (KL City) FC.
Mengikut rekod, pada musim ini menyaksikan hanya 13 pasukan beraksi di Liga Super selepas beberapa pasukan dari Liga A1 tidak menepati syarat ditetapkan untuk menyertai saingan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd