Pemain NSFC, Jacque Faye (kanan) bersaing bagi mendapatkan bola ketika menentang Selangor FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi pada Isnin. Foto Bernama
SELANGOR FC mencatat kemenangan bergaya menewaskan Negeri Sembilan FC 4-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini malam ini.
Kemenangan tersebut meletakkan Selangor di kedudukan kedua carta liga dengan mengumpul 32 mata, berada di bawah pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang kini mengumpul 43 mata.
Babak awal perlawanan menyaksikan Selangor lebih menguasai permainan dengan hantaran-hantaran kemas serta mencipta beberapa peluang untuk menjaringkan gol.
Selangor akhirnya memecah kebuntuan apabila pemain tengah Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau menjaringkan gol pertama hasil hantaran tepat Ali Olwan pada minit ke-15.
Pasukan tuan rumah hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-32 menerusi larian pantas A Selvan namun percubaannya tersasar melewati palang.
Kemudian, Selangor terus mendominasi permainan dengan gol kedua pada minit ke-39 menerusi sepakan percuma yang diambil pemain import Alvin Mateus Fortes menewaskan penjaga gol Tauffiq Ar Rasyid Johar.
Berbaki kurang lima minit sebelum tamat separuh masa pertama, pasukan tuan rumah terus tertekan apabila pemain tengah Che Rashid Che Halim dilayangkan kad merah, menyebabkan mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain.
Pemain NSFC, Hein Htet Aung (kiri) bersaing bagi mendapatkan bola ketika menentang Selangor FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi pada Isnin. Foto Bernama
Memasuki babak kedua perlawanan, Red Giants meneruskan rentak kemenangan dengan jaringan ketiga menerusi rembatan kencang Quentin Cheng Jiun Ho pada minit ke-48 hasil hantaran kemas pemain import Yohandry Orozco.
Selangor menggandakan jaringan menerusi rembatan kaki kiri Orozco pada minit ke-61 sekali gus melengkapkan kemenangan 4-0 buat pasukan bimbingan ketua jurulatih Kinoshi Katsuhito.
Meskipun beraksi dengan 10 pemain, NSFC terus memberikan tentangan sengit menerusi percubaan pemain tengah Muhamad Norfiqrie Abdul Talib namun rembatan itu melepasi palang gol pada minit ke-70.
Perlawanan malam ini turut menampilkan pemain sensasi Faisal Halim yang dibawa masuk menggantikan pemain tengah Nooa Hamzah Laine pada minit ke-76.
Faisal mempamerkan aksi bertenaga dengan beberapa percubaan menarik. – Bernama