‘Ini baru perlawanan pertama’ – Pau Marti

‘Ini baru perlawanan pertama’ – Pau Marti


Skuad negara akan berdepan Timor-Leste Rabu ini. Foto FAM

PENGENDALI Harimau Malaya, Pau Marti Vicente akan memastikan kebangkitan pasukan negara selepas diikat Kemboja 2-2 dalam aksi pembukaan Kumpulan A Piala ASEAN di Stadium Olimpik, Phnom Penh pada Ahad.

Menurutnya, Harimau Malaya masih mempunyai baki tiga perlawanan menentang Timor-Leste, Thailand dan Singapura selain yakin berpeluang untuk melangkah ke separuh akhir.

“Seperti dijangka ini perlawanan yang sukar kerana Kemboja mendapat kelebihan bermain di laman sendiri dan kami perlu menyerap tekanan.

“Namun, saya tidak boleh pertikaikan semangat dan komitmen yang ditunjukkan oleh pemain apatah lagi bermain di tempat lawan.

“Apa yang penting, kami tidak akan mengalah dan ini baru perlawanan pertama, masih ada tiga perlawanan lagi. Sasaran kami untuk menang semua perlawanan dan berjuang untuk mara ke separuh akhir,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Dalam perlawanan itu, Harimau Malaya terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan Stuart Wilkin sebelum tuan rumah bangkit melalui dua jaringan daripada Coulibaly Abdel Kadir dan Ty Sa.

Skuad negara bernasib baik apabila mendapat gol penyamaan menerusi pemain gantian, Fergus Tierney untuk sekadar berpuas hati membawa pulang satu mata.

Pau Marti berkata, dia sedar dengan kepincangan serta kelemahan yang dilihatnya dalam perlawanan itu terutama gol Kemboja yang terhasil daripada situasi bola mati.

“Kami sekali lagi bolos menerusi situasi bola mati dan ia perlu diperbaiki. Saya yakin pemain mendapat pengalaman daripada perlawanan ini,” katanya.

Harimau Malaya dijadualkan menentang Timor-Leste pada Rabu di Stadium Nasional Bukit Jalil sebelum terbang ke Bangkok untuk menentang Thailand pada Jumaat dan menutup aksi kumpulan bertemu Singapura pada 20 Disember.

Malaysia ketika ini berada di kedudukan ketiga dalam Kumpulan A di belakang Kemboja di kedudukan kedua dan Thailand kedudukan pertama.



Source link

OR

Scroll to Top