Sultan Selangor menganugerahkan Darjah Kebesaran AIS kepada Faisal Halim sempena ulang tahun keputeraan ke-79 Baginda di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang pada Rabu.
PEMAIN bola sepak Selangor, Faisal Abdul Halim menerima Darjah Kebesaran Ahli -Sultan Sharafuddin Idris Shah (AIS) sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-79 Sultan Selangor pada Rabu.
Faisal antara 17 penerima AIS pada istiadat yang telah berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang.
Faisal berkata, beliau bersyukur dan terharu atas penganugerahan itu yang pastinya akan dikenang sepanjang hidup.
“Saat ini akan patik kenang selamanya dan pastinya akan menjadi satu motivasi baru untuk terus bekerja keras dan memberikan yang terbaik buat semua,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Pada 5 Mei lalu, Penjaring Gol Terbaik Piala Asia 2023 berusia 26 tahun itu menjadi mangsa simbahan asid di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, Petaling Jaya, menyebabkan beliau mengalami kelecuran tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan.
Kecederaan yang dialami oleh tonggak Harimau Malaya menyebabkan dia terpaksa menjalani empat pembedahan sebelum dibenarkan keluar hospital.
Faisal kemudian tampil buat kali pertama pada 13 Jun di hadapan umum dalam sidang akhbar.