Premis jual khemah jadi transit edar mesin judi komputer tablet

Premis jual khemah jadi transit edar mesin judi komputer tablet


SEREMBAN: Sebuah premis menjual khemah di Kampung Baru Rasah di sini diserbu pihak polis selepas dikesan menjadi menjadi ‘transit’ menjual dan mengedar mesin perjudian komputer tablet dengan rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai lebih RM500,000.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, dalam serbuan pada pukul 4.30 petang semalam, seramai tiga lelaki termasuk dua warga tempatan dan seorang warga China berusia 30-an telah ditahan.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada pemilik premis, rakan kongsi dan lelaki warga China dipercayai sebagai juruteknik.

“Polis turut merampas 140 unit mesin slot, 83 unit mesin tembak ikan dan sebuah unit mesin ‘street fighter’ dipercayai peralatan yang digunakan untuk aktiviti perjudian dengan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM560,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di sini hari ini.

Menurut Mohamad Hatta, berdasarkan risikan yang dijalankan selama tiga minggu, polis tidak menolak kemungkinan premis itu dijadikan transit membekal mesin perjudian komputer tablet’ dan notebook sebelum diedarkan kepada pihak sindiket di dalam negara.

“Kami percaya mesin judi ini diperoleh dari negara China dan pembeli berhubung menerusi aplikasi media sosial.

“Polis tidak menolak kemungkinan premis ini dijadikan transit bagi membekal alat mesin perjudian ini selain dikesan mengiklankan produk tersebut di media sosial WeChat dan Facebook,” katanya.

Jelas beliau, mesin perjudian itu dijual pada harga antara RM2,000 hingga RM2,500 seunit dan pengguna juga menambah nilai kredit atau point untuk berjudi menggunakan cip yang disediakan.

“Kami dapati premis ini merupakan kedai atau stor menjual khemah dalam masa sama menjual mesin perjudian komputer tablet yang mana ketika serbuan sebanyak dua unit mesin ini dipamerkan secara terbuka,” katanya.

Tambah Mohamad Hatta, kes disiasat di bawah Seksyen 4B(b) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana mengambil kerja orang asing yang tidak memiliki permit yang sah dan Seksyen 39 (b) Akta Imigresen 1959/63 iaitu melanggar syarat pas atau permit.

“Sekiranya didapati bersalah  boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM10,000 dan maksimum RM100,000 bagi tiap-tiap mesin perjudian yang disita dan penjara tidak melebihi lima tahun,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek lelaki yang ditahan telah ditahan reman selama dua hari bermula hari ini.-UTUSAN.





Source link

OR

Scroll to Top