12 Disember 2024 01:24pm
Masa membaca: 4 minit
Pearly (kanan) dan Thinaah akan bertemu pasangan China dalam aksi terakhir kumpulan WTF di China pada Jumaat. Foto Agensi
IMPIAN beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah untuk melangkah jauh dalam Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024 di China tidak kesampaian.
Pasangan yang menghuni ranking keenam dunia itu terpaksa akur tersingkir awal setelah tewas buat kali kedua berturut-turut dalam saingan Kumpulan A sebentar tadi.
Mereka dikejutkan dengan kekalahan di tangan Treesa Jolly-Gayathri Gopichand 19-21, 19-21 yang berada di kedudukan ke-13 dunia dalam aksi di Pusat Sukan Olimpik Hangzhou itu.
Ia merupakan kekalahan kedua Pearly-Thinaah ke atas lawan itu selepas menang enam daripada lapan pertemuan.
Pasangan itu pada Rabu kalah dalam aksi pertama kumpulan di tangan Nami Matsuyama-Chiharu Shida dari Jepun.
Keputusan tersebut menyaksikan mereka mengulangi skrip sama dalam dua kejohanan lalu apabila turut gagal melepasi saingan peringkat kumpulan pada edisi 2021 dan 2022.
Pearly-Thinaah akan berdepan beregu China, Liu Sheng Shu-Tan Ning pada Jumaat bagi melengkapkan saingan peringkat kumpulan.