syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Pelakon, Chacha Maembong terbuka untuk kembali bekerjasama dengan mana-mana pelakon yang pernah bermasalah dengannya termasuk Ruhainies.
Sebelum ini, Chacha pernah menuntut penjelasan daripada Ruhainies selepas namanya ‘dipetik’ dalam perbualan di antara Ruhainies bersama Aliff Aziz di WhatsApp yang ditularkan seorang wanita didakwa kekasih kepada Aliff iaitu Sarah Yasmine.
Chacha berkata, industri hiburan tanah air sangat kecil dan mereka akan bertemu juga.
“Bergaduh sebesar mana pun akan berjumpa juga. Dekat majlis-majlis pun boleh jumpa atau tiba-tiba boleh jadi berlakon sama. Jadi, saya tak suka bergaduh dengan sesama orang dalam bidang ini ,” katanya.
Chacha berkata, dia sentiasa bersikap profesional.
“Kebetulan, sejak kontroversi itu saya memang tak pernah terserempak dengan dia (Ruhainies). Apa yang terjadi hanyalah salah faham. Kalau ada tawaran untuk kami bekerjasama, saya tetap akan bersikap profesional.
“Orang yang saya suka atau tidak, saya akan bekerja secara profesional. Dengan pihak mana-mana pun, saya tak ada isu sekiranya perlu bekerjasama,” katanya.
Selepas kontroversi namanya ‘dipetik’ itu, Chacha dan Rubainies tidak lagi berhubung antara satu sama lain.
“Selepas kejadian itu, kami memang tak pernah berhubung dan berjumpa. Memang dia pun terus hilang begitu saja. Saya pun sekarang memang nak fokus buat duit, fokus kerja dan kerjaya saya.
“Bila hal peribadi sebegini beri impak, tak seronok terutama membabitkan nama saya kena petik. Kalau boleh, benda begini saya minta dijauhkan.
Terbaru, Chacha membintangi filem Limbung: Tragedi Hitam 1975 arahan Fazli Yasin yang akan ditayangkan pada 6 Februari tahun depan.
Selain Chacha, filem itu turut dibintangi Kodi Rasheed, Amerul Affendi, Cat Farish dan Nor Albaniah.
© New Straits Times Press (M) Bhd