Raja Charles III lawat Battersea Power Station

Raja Charles III lawat Battersea Power Station


Kuala Lumpur: Raja Charles III meluangkan masa melawat Battersea Power Station, lokasi ikonik di tebing Sungai Thames, London pada Khamis untuk menyaksikan pelbagai aktiviti sempena musim perayaan dan bertemu pemilik perniagaan kecil serta komuniti setempat.

Baginda disambut oleh Pengerusi Battersea Project Holding Company, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan; Ketua Pegawai Eksekutif Battersea Power Station Development Company, Donagh O’Sullivan; Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, Sana Jafri; serta beberapa pemimpin tempatan termasuk Ahli Parlimen Battersea, Marsha De Cordova, dan Datuk Bandar Wandsworth, Colleen Harris.

Battersea Power Station Development Company dalam satu kenyataan berkata, kehadiran Raja Charles turut diraikan dengan persembahan koir komuniti yang terdiri daripada lebih 100 penduduk setempat, mempersembahkan lagu-lagu perayaan di kawasan kejiranan berkenaan.

Sepanjang lawatan itu, baginda mengunjungi Curated Makers Christmas Market di Turbine Hall A, sebuah pasar kecil yang diasaskan Megan Jones melalui sokongan program Enterprise Trust oleh The King’s Trust. Pasaran ini menampilkan lebih 40 perniagaan tempatan yang menjual pelbagai barangan buatan tangan seperti perhiasan rumah, lilin, dan pakaian.

Baginda juga meluangkan masa bertemu kanak-kanak dari Chesterton Primary School, belia dari beberapa kumpulan komuniti seperti Carney’s Community dan Devas Youth Club, serta pelatih dari Battersea Academy for Skills and Employment (BASE).

Satu plak khas turut dirasmikan oleh Raja Charles bagi memperingati lawatan bersejarah berkenaan.

Raja Charles turut berkesempatan melawat ibu pejabat Apple di dalam Battersea Power Station, di mana Baginda bertemu Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook, serta wakil kumpulan komuniti yang disokong syarikat teknologi itu.

Mengakhiri lawatan, lukisan bertemakan Krismas hasil karya kanak-kanak dari St George’s CoE Primary School dipancarkan ke dinding bangunan, disusuli persembahan oleh penyanyi terkenal RAYE di Power Station Park.

Menurut Shahril, lawatan Raja Charles melambangkan kejayaan usaha pemulihan Battersea Power Station yang kini menjadi pusat komuniti setempat.

“Dengan sokongan pemegang saham dari Malaysia seperti Sime Darby Property, S P Setia, dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), bangunan bersejarah ini telah berjaya dipulihkan dan menjadi mercu tanda kebanggaan yang dapat dinikmati semua generasi,” katanya.

Battersea Power Station adalah milik usaha sama dari Malaysia iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan dua syarikat lain iaitu SP Setia Bhd dan Sime Darby Property Bhd menerusi Battersea Project Holding Company Limited (BPHCL).

Sejak dibuka kepada orang ramai pada Oktober 2022, kawasan Battersea Power Station telah menerima lebih 24 juta pengunjung dan kini menjadi destinasi pilihan dengan pelbagai tarikan termasuk kedai, restoran, dan aktiviti riadah seperti gelanggang luncur ais tepi sungai serta Lift 109, lif kaca dengan pemandangan London yang menakjubkan.

Lawatan Raja Charles ini turut memperkukuh hubungan erat antara Malaysia dan United Kingdom, di mana usaha pemulihan Battersea Power Station menjadi simbol kejayaan kolaborasi dua negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top