sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Pemain lebih memilih untuk berbakti bersama skuad negara daripada bermain menentang JDT.”
Itu respons Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar apabila mengambil pendekatan berani dengan menawarkan pilihan kepada pemain untuk memilih bermain bersama Kuala Lumpur (KL) City atau Harimau Malaya.
Baginya, dalam situasi Liga Malaysia (Liga M) sedang berjalan ketika ini, beliau menyedari kepentingan pasukan apatah lagi mereka akan turun bertemu juara bertahan Piala Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) di suku akhir malam ini.
Namun begitu, apa yang lebih penting adalah soal hati dan jiwa seseorang itu untuk bermain kerana dari situ, pemain sendiri akan memberikan yang terbai membantu pasukan mendapatkan keputusan positif.
“Bagi saya senang saja, daripada pemain yang dipanggil itu (mewakili Malaysia), saya akan tanya mereka nak bermain untuk Malaysia atau KL City, kalau Malaysia, saya lepaskan untuk terus bermain tetapi pemain lebih memilih untuk berbakti bersama skuad negara daripada bermain menentang JDT.
“Maknanya kalau saya panggil mereka pulang untuk bermain dengan KL City pun tapi hati mereka tiada untuk bermain lawan JDT pun, tak guna juga.
“Saya masih menawarkan kepada mereka jika nak bermain bersama KL City, mereka akan dibayar elaun sama seperti bermain dengan Malaysia. Kalau pemain itu main untuk Malaysia tapi hati dekat KL City, baik jangan pergi mewakili Malaysia,” katanya kepada Arena Metro.
Selain itu, Syed Yazid juga tidak ingin memaksa seseorang pemain itu walaupun kontrak masih terikat dengan pasukan Warga Kota.
“Jika pemain itu sendiri sudah melakukan keputusan untuk mewakili negara, kita bagi sokongan penuh kepada pemain ini sebab saya bercerita dari sudut hati mereka hendak bermain untuk siapa.
“Sekarang isunya, walaupun Liga M masih berjalan dan pasukan sedang bermain, kita nak pemain yang ada hati dan berikan komitmen sepenuh hati dalam padang,” katanya.
Disebabkan kejohanan itu berlangsung di luar kalendar Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa), sudah pasti setiap kelab juga mempunyai hak ke atas pemain mereka untuk dipanggil pulang bagi menghadapi perlawanan yang akan datang.
Sebelum ini ketika perlawanan menentang Timor Leste pada Rabu lalu, pemain Penang FC, Syamer Kutty Abba dan Adib Raop tidak diturunkan akibat sehari sebelum hari perlawanan, mereka beraksi bersama kelab dalam saingan Piala Cabaran.
Terkini untuk perlawanan menentang Thailand esok, empat tonggak utama Sabah FC, Dominic Tan, Stuart Wilkin, Darren Lok dan Daniel Ting terpaksa meninggalkan skuad Harimau Malaya bagi memberi tumpuan kepada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Kuching City di Stadium Negeri, Ahad ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd