am@hmetro.com.my
Ayer Keroh: Pasangan suami isteri dijatuhi hukuman 12 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, kerana mencuri dan bersubahat memiliki 54 tabung kutipan derma sejak November lalu.
Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri menjatuhi hukuman itu terhadap Nuruddin Hasbullah Zainal, 33, dan isterinya, Syaidatul Nor Syahidra Firdaus, 35, yang mengaku bersalah dan disabitkan atas lima pertuduhan.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, mereka didapati memiliki 21 dan 33 tabung tabung derma pelbagai jenis serta gagal memberikan penjelasan yang memuaskan kepada pihak berkuasa bagaimana tabung itu diperoleh.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil (AKK) 1955 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan (KK), sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya.
Mereka juga dituduh mengikut Seksyen 109 KK dan dibaca bersama Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil (AKK) 1955 kerana bersubahat memiliki tabung derma Madrasah Darul Tolabah dan Huffaz Melaka yang disyaki harta curi tanpa alasan munasabah.
Shaidatul turut berdepan pertuduhan melakukan kesalahan bersubahat menyimpan atau memiliki harta curi iaitu tabung madrasah dan dituduh mengikut Seksyen 109 KK dibaca bersama Seksyen 411 KK, jika disabitkan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Semua kesalahan itu dilakukan di dalam bilik sebuah rumah dan dalam bonet Perodua Bezza di Amber Cove Residence pada 4 Disember lalu, jam 12.10 tengah malam.
Sementara itu, Nuruddin Hasbullah turut mengaku bersalah mencuri tabung derma Madrasah Tahfiz Al-Quran Desa Darul Naim Kasih, Sungai Rambai, di kedai menjual buah-buahan di Lorong Pandan, dekat sini pada 11 November lalu, kira-kira jam 11.30 malam.
Perbuatan itu didakwa mengikut Seksyen 380 KKK yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, dan bagi kesalahan kedua atau yang kemudian hendaklah diseksa dengan penjara, denda atau sebat.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhammad Mawardi Zainudin.
Mahkamah mengenakan hukuman penjara lapan bulan bagi setiap pertuduhan pertama dan kedua, penjara tujuh bulan (pertuduhan ketiga) dan masing-masing 12 bulan penjara (pertuduhan keempat dan kelima) serta bermula serentak dari tarikh ditangkap pada 4 Disember lalu.
Sementara itu, Nuruddin Hasbullah dan Syaidatul Nor Syahidra masing-masing didakwa memberikan dadah kepada diri sendiri iaitu methamphetamine dan tetrahydrocannabinol, serta pertuduhan bersama memiliki dadah berbahaya kanabis berat kasar 8 gram.
Kes ditetapkan untuk sebutan bagi laporan patalogi dan kimia pada 5 Februari 2025.
© New Straits Times Press (M) Bhd