Pemandu Mercedes Benz ditahan langgar lari

Pemandu Mercedes Benz ditahan langgar lari



harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah Mercedes Benz GLE450 AMG ditahan selepas disyaki melanggar seorang penunggang motosikal dalam kejadian langgar lari di Kilometer (KM) 8, Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan berlaku kira-kira 12.35 tengah hari berhampiran Plaza Tol Chan Sow Lin.

“Siasatan mendapati mangsa, lelaki tempatan berusia 34 tahun yang menunggang motosikal Honda Vario 160, dilanggar SUV itu ketika bergerak lurus di laluan terbabit. Insiden itu mengakibatkan mangsa terjatuh di atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, suspek yang juga seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun, melarikan diri dari lokasi kejadian sebelum kenderaannya terbakar dan terhenti di KM 18.1 berhampiran Plaza Tol Wangsa Maju, Lebuhraya SPE.

“Penunggang motosikal mengalami kecederaan serius termasuk pendarahan di bahagian kepala, muka, dan perut. Bagaimanapun, pemandu SUV tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Katanya, suspek ditahan dan permohonan reman dibuat hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Semalam Harian Metro melaporkan pemandu SUV Mercedes Benz 450 terselamat selepas kenderaan itu musnah dalam kebakaran di KM 18 Lebuhraya SPE dekat Plaza Tol Wangsa Maju.

Susulan itu, satu hantaran tular selepas dimuat naik seorang pengguna Instagram mendakwa adik iparnya parah selepas dikatakan dilanggar pemandu SUV terbakar terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top