Gandingan mantap Kyrgios, Djokovic

Gandingan mantap Kyrgios, Djokovic


Sydney: Juara 24 kali Grand Slam Novak Djokovic akan bergandingan dengan bekas finalis Wimbledon Nick Kyrgios dalam acara beregu di Antarabangsa Brisbane, menurut jaguh Australia terbabit.

Gandingan itu yang mula bersahabat selepas pernah bertelagah akan menjadikan kejohanan ATP 250 bermula 29 Disember sehingga 5 Januari itu sebagai pemanas badan untuk menghadapi Terbuka Australia.

Djokovic dan Kyrgios pernah menentang sesama sendiri di Jelajah ATP dengan pemain Australia itu menang dua aksi pertama pada 2017 sebelum tewas empat set pada final Wimbledon 2022.

Dalam Instagramnya hari ini, Kyrgios berkongsi foto mereka di Wimbledon denga kapsyen: “Beregu di Brisbane. Jumpa anda semua di sana.”

Penganjur Antarabangsa Brisbane yang dihubungi menerusi emel belum memberikan respon segera mengenai kenyataan Kyrgios.

Kyrgios yang turut bakal beraksi kejohanan pertunjukan Liga Tenis Dunia di Abu Dhabi pada 19-22 Disember hanya beraksi satu acara perseorangan sejak dua tahun lalu akibat kecederaan lutut, kaki dan pergelangan tangan.

Dia dijangka tampil kembali dalam acara perseorangan kompetitif di Brisbane dan akan menyertai Terbuka Australia menerusi ranking dilindungi di mana dia turut beraksi dalam acara beregu dengan Thanasi Kokkinakis.

Kyrgios dan Kokkinakis yang digelar “Special Ks” meraih gelaran tunggal mereka pada 2022 di Melbourne Park.

Terbuka Australia 2025 akan bermula pada 12 sehingga 26 Januari.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR