'Mimpi ngeri dalam hidup saya'

'Mimpi ngeri dalam hidup saya'



redzuan.muharam@hmetro.com.my

Johor Bahru: “Saya masih trauma malah apa yang berlaku itu mimpi ngeri dalam hidup saya.”

Itu kata Shamsiah Nur Narani, 26, ketika menceritakan pengalamannya yang mendakwa menjadi mangsa penipuan pempengaruh dan usahawan, Kim Seri selepas tersadai di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan.

Ia berlaku selepas namanya bersama rombongan tiada dalam rekod penumpang pesawat.

Bagaimanapun, Shamsiah bersama suami, Muhamad Daniel Raub, 27, anak, Luth Aryan Muhammad Daniel berusia setahun dan enam rakannya dapat pulang 7.30 malam kelmarin sebelum tiba di tanah air 3.30 pagi semalam.

Menurut Shamsiah, sehingga kini, dia masih menunggu Kim Seri mengembalikan wang tiket penerbangan pulang ke tanah air yang dibeli dengan bantuan seorang individu dan inisiatif lain.

“Selepas apa yang berlaku, Kim Seri ada berjanji nak kembalikan semula duit saya dan rombongan, malah pagi tadi dia ada mesej dalam kumpulan WhatsApp maklumkan tapi sampai sekarang belum terima lagi.

“Ada kawan saya yang minta pemulangan wang pun dia belum hubungi. Saya masih tunggu lagi kerana selepas pagi tadi belum dapat maklumat lanjut bila wang akan dikembalikan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Berkongsi lanjut, menurut Shamsiah, percutian ke Korea Selatan selama lima hari empat malam itu adalah yang pertama buatnya dan asalnya idea salah seorang rakannya.

Bagaimanapun, katanya, rakannya itu gagal turut serta kerana tidak mendapat kelulusan cuti daripada majikannya.

“Tapi saya dan rakan lain teruskan dan sebenarnya, saya tak kenal rapat pun Kim Seri, hanya tahu dia pempengaruh dan popular.

“Saya tahu juga (Kim Seri) sebab dia selalu muat naik content (perkongsian video) di TikTok jadi fikir dia orang yang sangat boleh dipercayai.

“Tak sangka pula lain jadinya dan sepanjang di sana, pemandu pelancong yang banyak bantu, malah sangat mendahulukan kami walaupun ada masalah perubahan itinerari serta makan dicatu,” katanya.

Berhubung video perkongsiannya yang tular di TikTok, Shamsiah berkata, niatnya sekadar menceritakan pengalaman dan meluahkan kekecewaannya ketika itu.

“Jujurnya, menggigil badan saya waktu rakam video itu kerana nak menangis. Mana tidaknya, nama tiada dalam rekod penerbangan waktu nak pulang selepas diberitahu awal pagi hari kejadian yang ada kelewatan waktu penerbangan.

“Tak sangka pula akan tular dan saya harap Kim Seri akan bertanggungjawab dengan apa yang berlaku,” katanya.

Terdahulu, tular di laman sosial video luahan Shamsiah yang mendakwa menjadi mangsa penipuan Kim Seri atau nama sebenarnya, Seri Azlina.

Perkongsian wanita itu mengundang pelbagai reaksi dengan rata-rata bersimpati dan meminta mangsa membuat laporan polis.

Menyedari hal itu, Kim Seri menerusi Insta Story (IG) dekat akaun Instagramnya (IG) semalam yang dia akan mengeluarkan kenyataan rasmi di akaun laman sosialnya nanti berhubung isu tular yang mengaitkan dirinya.

Hari ini, Kim Seri menerusi IG Story memohon maaf dan memberi jaminan akan menyelesaikan tunggakan bayaran kepada pelanggan terkesan daripada trip pakej pelancongan tertunda sebelum atau pada 1 Februari tahun depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top