sukan@hmetro.com.my
Iskandar Puteri: Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa memerah keringat sebelum menewaskan Sri Pahang FC 3-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, sebentar tadi.
Kemenangan itu mengukuhkan kedudukan JDT selaku pendahulu liga apabila mengumpul 46 mata selepas melakar 15 kemenangan dan satu keputusan seri manakala Sri Pahang FC kekal di tangga sembilan dengan 15 mata.
Sri Pahang kendalian Fandi Ahmad yang beraksi selaku tuan rumah sering diasak bertubi-tubi oleh anak buah Hector Bidoglio.
Namun, JDT gagal menembusi benteng skuad Tok Gajah yang begitu berdisiplin menghalang gerakan berbahaya Bergson da Silva dan Arif Aiman Hanapi dan kedudukan 0-0 kekal sehingga berakhir babak pertama.
JDT akhirnya meraih gol pertama apabila bola sepakan sudut Juan Muniz terkena belakang badan pemain pertahanan Sri Pahang FC, Adam Nor Azlin yang gagal diselamatkan Zarif Irfan untuk meletak JDT mendahului 1-0.
Bergson merembat masuk gol kedua JDT pada minit ke-52 hasil lorongan Muniz.
Namun, JDT tersentap apabila pemain gantian Sri Pahang, David Rowley menanduk masuk bola hasil sepakan lintang Mykola Ahapov yang menewaskan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, seminit kemudian.
Memasuki minit akhir permainan, JDT dihadiahkan sepakan penalti selepas pengadil, Ahmad Zuhaidi Dzulkifli mengesan berlaku kekasaran terhadap Arif Aiman menerusi semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) dan Bergson menyempurnakan sepakan penalti itu untuk menjadikan kedudukan 3-1.
© New Straits Times Press (M) Bhd