Jalan Lojing-Gua Musang ambil masa dua bulan untuk baik pulih – JKR

Jalan Lojing-Gua Musang ambil masa dua bulan untuk baik pulih – JKR

Jalan Lojing-Gua Musang ambil masa dua bulan untuk baik pulih – JKR



nfazlin@nstp.com.my

Kota Bharu: Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan memaklumkan proses baik pulih laluan di Kilometer (KM) 78 Jalan Gua Musang-Lojing berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke, dekat Gua Musang, berikutan berlaku mendapan minggu lalu, dijangka mengambil masa dua bulan.

Pengarahnya, Ir Nik Soh Yaacoub berkata, sehingga kini, laluan berkenaan masih ditutup dan kerja-kerja baik pulih belum dapat dilakukan.

“Kerja-kerja baik pulih hanya boleh dilakukan apabila cuaca kembali baik dan kita jangkakan kerja-kerja baik pulih itu mengambil masa selama dua bulan

.

“Pada masa sama, lencongan di laluan berkenaan tidak dapat dilakukan berikutan tanah di kawasan terbabit lembut dan ia membahayakan sekiranya membuat jalan lencongan.

“Penyelesaian di laluan berkenaan adalah membaik pulih dengan mengorek balik lubang benam berkenaan sebelum melihat tahap kerosakan sebenar.

“Kita akui penutupan itu meresahkan pengguna termasuk lori yang membawa bekalan sayur, namun laluan ini tidak boleh dibuat dalam keadaan tergesa-gesa bagi menjamin kualiti jalan,” katanya ketika dihubungi.

Media sebelum ini melaporkan, laluan di Kilometer (KM) 78 Jalan Gua Musang-Lojing berhampiran Kampung Jekjok, Pos Brooke itu ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan susulan berlaku jalan mendap, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, laluan terbabit ditutup kepada semua kenderaan daripada kedua-dua arah sehingga arahan baharu dikeluarkan daripada pihak JKR.

Susulan penutupan itu, lebih 200 pemborong di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong mendakwa harga sayur naik mendadak sehingga empat kali ganda minggu ini.

Keadaan itu menyebabkan bekalan sayur dari Tanah Tinggi Lojing tidak dapat melalui laluan berkenaan dan terpaksa menggunakan laluan jauh sekali gus kos pengangkutan turut berlaku kenaikan berganda.

Sehubungan itu, pemborong terbabit menggesa supaya JKR mempercepat proses membaik pulih laluan berkenaan bagi menyelesaikan isu harga sayur.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top