mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim ternyata komited membawa bola sepak negara ke peringkat lebih tertinggi apabila mengadakan pertemuan bersama Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) Gianni Infantino.
Menerusi Facebook HRH Crown Prince of Johor menyatakan Tunku Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) mengadakan pertemuan dengan Infantino demi pembangunan bola sepak negara.
“Infantino diberi taklimat mengenai projek skuad kebangsaan di Malaysia yang dimulakan oleh DYAM Pemangku Sultan Johor dan ianya juga mendapat sokongan daripada kerajaan Malaysia.
“Infantino turut menzahirkan kepercayaan inisiatif nasional tersebut yang dikemudi DYAM Pemangku Sultan Johor dan bersetuju untuk memberikan sokongan kepada Malaysia dari segi penyelidikan, infrastruktur dan pembangunan,” tulis kenyataan itu.
Pertemuan itu boleh dikatakan cukup signifikan buat bola sepak negara terutamanya membabitkan skuad Harimau Malaya yang kini bakal berwajah baharu.
Turut kelihatan bersama dalam pertemuan itu adalah Ketua Eksekutif Akademi Aspire, Tim Cahill.
Sebelum itu, Tunku Ismail menyatakan akan membuat pengumuman membabitkan jurulatih baru skuad senior dan skuad bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan.
Baginda juga turut menekankan akan menyatakan kepada umum siapa bakal menyandang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Teknikal Harimau Malaya.
Selain itu Tunku Ismail turut mendedahkan mesyuarat bersama wakil Fifa mengenai usaha mendapatkan data pemain warisan Malaysia yang beraksi di luar negara juga diadakan.
Mengikut rekod, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tmengumumkan Peter Cklamovski sebagai pengendali baharu Harimau Malaya manakala Nafuzi Zain pula sebagai jurulatih skuad B-23 negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd