KUALA LUMPUR: Tahun 2024 menjadi tahun penuh bermakna buat platform beli-belah dalam talian Shopee menerusi inisiatif Shopee Rai Lokalnya yang memperkasakan perniagaan tempatan dan memupuk pertumbuhan komuniti di Malaysia.
Mula dilancarkan pada 2019, Shopee Rai Lokal telah menjadi tonggak utama dalam misi Shopee untuk meraikan dan menyokong komuniti pengguna, usahawan, dan bakat tempatan.
Inisiatif ini terus berkembang pada tahun 2024 menerusi pelancaran laman web mikro khusus Shopee Rai Lokal, yang memudahkan hubungan langsung antara pembeli dan penjual tempatan yang mana pembeli boleh menerokai dan menyokong produk dan perniagaan tempatan kegemaran melalui baucar dan diskaun eksklusif.
Ketua Pemasaran dan Pengurusan Data Shopee Malaysia, Tan Ming Kit berkata, pihaknya percaya bahawa akses mudah untuk menyokong usahawan tempatan adalah kunci kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Melalui inisiatif ini, kami berusaha menghubungkan pengguna dengan produk terbaik sambil melengkapkan penjual dengan peralatan dan ilmu untuk memajukan perniagaan mereka,” katanya.
Papar kisah inspirasi penjual tempatan
Inisiatif yang menyokong lebih 1.8 juta usahawan tempatan juga melihat bagaimana 500,000 ahli Shopee Affiliate membawa impak besar apabila berjaya menghasilkan lebih 90 juta pesanan pada 2024 melalui Shopee Live dan Shopee Video.
Justeru, bagi meraikan pencapaian ini, Shopee turut melancarkan bahagian kedua dokumentari “Shopee Rai Lokal: Breaking Barriers Online”, yang memaparkan kisah kejayaan beberapa ahli Shopee Affiliate yang berjaya mentransformasikan ekonomi digital dalam komuniti tempatan.
Ia adalah sambungan kepada bahagian pertama dokumentari yang dilancarkan pada 2023 yang menampilkan cabaran dan kejayaan tiga penjual tempatan.
Antara kisah yang dikongsi adalah mengenai seorang ibu lima anak, Nurul Syuhana yang berjaya meningkatkan pendapatannya melalui program ini.
Bermula dengan hanya beberapa pengikut di media sosial, pendapatan komisen pertama sebanyak RM200 menjadi pemangkin semangat buatnya untuk menyertai program ini secara sepenuh masa.
Beliau tekun mengasah kemahiran dalam menjalankan penstriman langsung sehingga berjaya menaikkan jumlah pengikut daripada hanya 33 pengikut kepada lebih 200,000.
Usaha gigihnya membuahkan hasil apabila diiktiraf sebagai salah seorang pemenang kategori ‘Shopee Affiliate 2 Million Ringgit Club’ di Shopee Superstar Awards 2024, baru-baru ini.
Syuhana berkata, menyertai program Shopee Affiliate benar-benar mengubah hidupnya.
“Selain membantu menyara keluarga, ia turut memberi peluang untuk saya berkongsi produk kegemaran dan membantu orang lain membuat pilihan yang lebih bijak,” katanya penuh syukur.
Mengangkat fesyen tempatan
Shopee Rai Lokal turut memberi peluang eksklusif kepada pembeli untuk meneroka dunia fesyen Muslim tempatan melalui Pertunjukan Fesyen Raya Stail Kita.
Menampilkan 10 penjual tempatan, acara ini berjaya menarik lebih 70,000 penonton di Shopee Live.
Pembeli turut diperkenalkan dengan koleksi fesyen baharu daripada pereka tempatan dan dapat mempelajari cara menggayakan pakaian yang sedondon bersama keluarga daripada pelbagai.
Transformasi digital dengan sokongan strategik
Shopee melalui inisiatif sama turut mengukuhkan ekosistem e-dagang melalui program Digital Platform Upskilling Summit yang membekalkan ilmu mengenai kepatuhan peraturan dan pensijilan Halal kepada lebih 1,000 penjual.
Kerjasama erat dengan agensi kerajaan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) turut membantu mempertingkatkan kepercayaan pengguna terhadap produk tempatan.
Pengenalan Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) hasil kerjasama dengan KPDN juga dilihat berjaya menonjolkan produk buatan tempatan kepada pengguna dengan sokongan penstriman langsung dan promosi istimewa.
Sementara itu, kerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menerusi Kempen Best of Malaysia turut membuka peluang untuk jenama tempatan bersaing di peringkat antarabangsa.
Ming Kit turut menegaskan bahawa kerjasama dengan KPDN dan MDEC membuktikan prinsip yang dipegang Shopee dalam membangunkan ekonomi digital Malaysia.
“Melalui kerjasama rapat dengan badan kerajaan, Shopee menyediakan platform sokongan berstruktur dalam memperkasakan penjual tempatan dan komuniti untuk berjaya,” katanya.
Sokongan terhadap komuniti
Selain memfokuskan pertumbuhan e-dagang, Shopee turut mengutamakan impak sosial melalui tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Pelbagai kempen diadakan seperti Pek Kasih Mama bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mengagihkan bantuan kepada ibu-ibu memerlukan di seluruh Malaysia, termasuk Sabah, Sarawak dan Johor.
Komuniti seperti Shopee Mum’s Club juga turut memperkasakan ibu dengan kandungan dan promosi eksklusif yang menyokong perjalanan keibubapaan.
Melalui inisiatif-inisiatif seperti ini, Shopee terus membuktikan komitmennya dalam memperkasa ekonomi tempatan melalui pendekatan holistik yang menggabungkan inovasi, kerjasama strategik dan impak sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd