am@hmetro.com.my
Pendang: Selama 13 tahun menanggung masalah gangguan air menyebabkan lebih 200 penduduk di Kampung Bukit Cengal, Kubur Panjang di sini mencari alternatif sendiri untuk mendapatkan bekalan keperluan asas itu.
Rata-rata penduduk terpaksa menggali telaga untuk bekalan yang mudah, malah ada yang membuat telaga tiub (boring) namun tidak semua yang bernasib baik dalam mendapat sumber air bersih.
Seorang daripadanya, Ipuan Saad, 71, yang memaklumkan gangguan bekalan air terawat di rumahnya sudah berlaku sejak 2011, dengan pada awalnya air paip hanya dapat digunakan untuk dua jam iaitu bermula jam 3 atau 4 pagi.
Katanya, keadaan semakin kronik kira-kira tiga tahun lalu apabila tiada langsung air diterima dan Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (Sada) mula menghantar lori air secara tetap.
“Bagaimanapun, air yang diterima terhad. Walau kami beli banyak tong dan tangki, tapi tidak semua boleh diisi.
“Di rumah saya, air sentiasa tidak cukup untuk kegunaan lapan orang, jadi kami buat keputusan korek telaga, cuma malangnya air tanah itu busuk dan tidak boleh digunakan.
“Apabila masuk musim kemarau, air hanya dihantar Sada empat atau lima hari sekali. Kami terpaksa pam air dari sungai masuk ke dalam telaga, sekurang-kurangnya ia dapat digunakan untuk mandi walaupun badan rasa gatal (sebab air tak bersih) tapi dapatlah juga mandi.
“Air untuk minum pula kami beli. Memang terpaksa berbelanja ratusan ringgit untuk air minum,” katanya ketika ditemui.
Seorang lagi penduduk, Shafarana Md Nor, 43 berkata, ketiadaan bekalan air membuatkan dia tertekan kerana perlu bangun awal pagi untuk menadah air.
Katanya, dia juga terpaksa menadah air hujan untuk mencuci pakaian dan pinggan mangkuk.
“Awal tahun lepas, saya dan suami buat keputusan untuk boring air. Alhamdulillah ada air yang agak bersih dekat kawasan rumah, cuma perlu menakungnya terlebih dahulu untuk mengurangkan bau tanah.
“Kami keluarkan modal kira-kira RM3,000 untuk boring. Jika tak buat, saya yang penat, terpaksa angkut air hujan dan air Sada dari luar.
“Dulu tahun 1980-an keluarga guna air telaga, selepas itu ada bekalan air paip Sada pada lewat 1990-an. Sekarang ini keadaan nampaknya kembali macam dulu semula (1980-an),” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti (MPK) Kampung Bukit Lalang, Md Isa Darus, 50, tidak menafikan masalah air turut berlaku di kampungnya namun ia tidak seteruk di Kampung Bukit Cengal.
“Sekiranya mahu adakan kenduri, penduduk perlu maklumkan kepada Sada lebih awal untuk mereka hantar bekalan air, begitu juga apabila ada kematian.
“Saya harap akan ada sinar untuk penduduk kampung mendapat bekalan air paip dengan segera, sudah lama mereka menanggung masalah yang tak selesaini,” katanya.
>>Ikuti penjelasan pihak berkuasa berhubung isu ini dalam terbitan Harian Metro esok.
© New Straits Times Press (M) Bhd