fatin.farhana@bh.com.my
Kuala Lumpur : Studio baharu Hot FM di Balai Berita, New Straits Times Press (NSTP), Bangsar mula dilancarkan, hari ini.
Majlis pelancaran studio dirasmikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB), Rafiq Razali bersama barisan penyampai segmen Bekpes Hot FM seperti Khairy Jamaluddin atau KJ, Johan dan AG Azmeer, pagi tadi.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio (MPA), Nazri Noran dan Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof.
Rafiq ketika melancarkan studio itu menzahirkan ucapan tahniah.
“Tahniah kepada Hot FM, hari ini saya merasmikan studio baharu Hot FM,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Rangkaian Kandungan Hot FM, Raja Nadia Salwana Raja Hisham berkata, pihaknya berharap dengan adanya studio baharu dapat menyuntik semangat dan dalam masa sama, memberikan lebih inspirasi untuk maju ke depan.
“Harapan kami semoga studio baharu ini dapat berikan inspirasi untuk terus bekerja keras dan berikan terbaik kepada pendengar yang sentiasa menyokong kami.
“Studio baharu ini juga diharap dapat memberikan ilham dan idea luar biasa untuk pendengar Hot FM. Rangkaian stesen radio Media Prima Audio lain akan menyusul secara berperingkat,” katanya.
Terdahulu, rangkaian televisyen MPB secara rasmi bersiaran penuh di Balai Berita New Straits Times Press (NSTP) yang terletak Bangsar mulai 21 Oktober lalu selepas beroperasi lebih tiga dekad di Sri Pentas.
Kini, rangkaian televisyen bekerja di bawah satu bumbung dengan semua platform media The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) yang menempatkan jenama di bawah Media Prima Berhad seperti Harian Metro, Berita Harian dan New Straits Times.
Perpindahan operasi ke premis baharu itu menawarkan studio dengan peralatan baharu adalah langkah relevan untuk bergelar sebagai syarikat media inklusif di Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd