Banda Aceh: Trauma dengan tsunami Lautan Hindi yang melanda Indonesia 20 tahun lalu, Teuku Hafid Hududillah menghabiskan usia dewasanya memastikan jika bencana itu menimpa lagi, wilayah asalnya Aceh akan bersedia.
Hududillah antara mereka yang kehilangan ramai saudara-mara apabila tsunami melanda pada 26 Disember 2004, mengorbankan 126,000 di Aceh, di mana tiada siren kedengaran, mengakibatkan angka korban tertinggi dalam kalangan 230,000 yang maut di sepanjang pantai di lebih 12 negara.
Tsunami itu dicetuskan oleh gempa bumi magnitud 9.1 di luar pulau Sumatera.
Kini, Hududillah, 28, yang bertugas sebagai pemerhati gempa untuk agensi geofizik Indonesia, adalah sebahagian daripada pasukan yang ditugaskan untuk menaik taraf pengesanan gempa Aceh dan sistem amaran tsunami, termasuk siren yang cukup kuat untuk didengari sejauh 100 kilometer.
“Kami fikir Aceh akan bersedia untuk pemindahan jika tsunami berlaku,” kata Hududillah di salah satu menara siren di ibu kota wilayah Banda Aceh, sambil menambah bahawa beliau berterima kasih atas usaha itu, sambil berharap tidak ada lagi bencana.
Sistem itu akan menghantar mesej ke telefon dan radio, dengan cepat, untuk memaklumkan penduduk mengenai gempa bumi bermagnitud lebih daripada 5, katanya, manakala siren akan menandakan kemungkinan risiko tsunami.
Indonesia, yang meliputi kawasan aktif secara seismik yang dikenali sebagai Lingkaran Api Pasifik, antara salah satu negara yang paling terdedah kepada bencana di dunia, tetapi sering dikritik kerana tidak melabur secukupnya dalam infrastruktur mitigasi bencana.
Di tempat lain, sistem amaran tsunaminya gagal mengelak kematian, di kawasan seperti Palu di Sulawesi Tengah, di mana ribuan maut dalam tsunami pada 2018 yang susulan gempa bumi magnitud 7.5, selepas siren tidak berbunyi sebagai amaran.
Orang ramai di Aceh berkata, mereka kini menerima latihan tetap dalam bertindak balas terhadap gegaran besar atau tsunami.
Namun, Zainuddin, 54, yang menggunakan satu nama, seperti kebanyakan rakyat Indonesia, menggesa kerajaan mempertingkatkan langkah perancangan bandar.
“Jalan-jalan kami tidak cukup lebar terutama pada waktu sibuk dan sukar untuk dilalui sekiranya tsunami berlaku,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd