Gusar 15 gajah hampiri rumah

Gusar 15 gajah hampiri rumah



am@hmetro.com.my

Lenggong: Hampir setiap bulan, sekumpulan gajah liar menceroboh masuk kawasan kediaman penduduk di sekitar Kampung Chepor, di sini untuk mencari makanan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Chepor, Fudzali Chek Harun, 63, berkata, perkara itu membimbangkan penduduk yang mengusahakan tanaman seperti pisang, sawit, tebu, getah sebagai sumber ekonomi.

Menurutnya, kumpulan gajah liar itu datang bukan satu atau dua ekor, tetapi ada mencecah 12 ekor.

“Gajah ini mencari makanan kerana mungkin di habitat mereka di Hutan Simpan Piah berkurangan.

“Banyak aduan yang diperoleh mendapati hasil tanaman rosak membabitkan nilai kerugian mencecah puluhan ribu ringgit,” katanya ketika ditemui di Felcra Stang, Kampung Chepor, di sini hari ini.

Khamis lalu, seekor gajah jantan digelar penduduk sebagai Labu dianggarkan berusia 18 tahun berjaya ditangkap Jabatan Perlidungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) ketika merayau di Bukit Labu di sini.

Sementara itu, penduduk, Izwan Muhizzan Shaari yang menetap bersama isteri dan tiga anak di Kampung Luat berdekatan Kampung Chepor, berkata terdapat lima kejadian kumpulan gajah merayau di kawasan perkarangan kediamannya.

Menurutnya, penangkapan Labu mengurangkan sedikit kegelisahan mereka sekeluarga yang sebelum ini perlu membuat pelbagai persiapan untuk menghalau mamalia itu.

“Memang kami bimbang kerana gajah ini tidak takut apa-apa. Pasang lampu pun dia tetap di situ bahkan pernah dinding rumah penduduk runtuh disebabkan gajah.

“Dua ke tiga hari lepas ada penduduk lain nampak lebih kurang 15 ekor gajah menghampiri kawasan rumah saya. Kedatangan mereka pada mulanya tidak disedari sehinggalah ada gajah yang bertempik memanggil ahli kumpulannya.

“Dengar bunyi tempikan gajah itu, kami semua siap sedia dan memasang mercun walaupun tidak membuatkan ia terus lari sebaliknya beredar secara beransur-ansur,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN Perak, Yusoff Shariff ketika dihubungi hari ini mengesahkan tangkapan gajah berkenaan jam 2 petang 2 Januari lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top