'Seronok' sampai gadai nyawa

'Seronok' sampai gadai nyawa



razis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kematian empat individu di sebuah konsert di Sunway selepas dikatakan mengambil pil ekstasi menunjukkan bahawa penyalahgunaan dadah masih menjadi masalah yang serius dalam kalangan anak muda, terutamanya di konsert dan festival muzik.

Presiden Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) Hafizi Harun berkata, insiden yang tragis dan menyedihkan ini mengundang pelbagai persoalan mengenai keselamatan, kebajikan pengunjung dan pengawasan terhadap aktiviti penjualan dadah di acara hiburan seperti konsert.

“Keberadaan dadah seperti ekstasi, yang sering kali dikaitkan dengan pengalaman hiburan, menimbulkan risiko yang tinggi.

“Penjual dadah yang tidak bertanggungjawab memanfaatkan situasi ini untuk meraih keuntungan, tanpa menghiraukan keselamatan dan kesihatan pengguna,” katanya.

Beliau berkata, ekstasi adalah dadah jenis stimulan (perangsang) yang boleh menyebabkan perasaan gembira, seronok dan sensitif kepada sentuhan, ditambah dengan alunan muzik yang dirasakan selari dengan degupan jantung.

“Ini boleh menyebabkan penggunanya boleh menari dengan penuh penghayatan dalam tempoh yang lama, sekali gus meningkatkan pengalaman berhibur mereka.

“Di Pengasih sendiri, ramai klien yang mengambil ekstasi untuk berhibur malah ada kalangan mereka, pada masa sama turut mengambil alkohol, ganja dan sebagainya.

“Pengalaman berhibur inilah yang dicari oleh mereka yang menggunakan ekstasi di konsert atau festival sehingga pengedar atau penjual mengambil kesempatan menjadikannya sebagai lubuk untuk berniaga sama ada di dalam atau di luar premis,” katanya.

Mengulas lanjut, aktiviti penjualan dadah di konsert membangkitkan isu pengawasan yang lemah yang memerlukan pihak penganjur dan pihak berkuasa perlu lebih proaktif dalam memastikan keselamatan pengunjung.

“Ini termasuklah menjalankan pemeriksaan keselamatan yang lebih ketat, menyediakan maklumat mengenai risiko penyalahgunaan dadah, serta menetapkan undang-undang yang lebih ketat terhadap penjualan dan pengedaran dadah di acara acara besar.

“Kesedaran mengenai risiko ini harus dipertingkatkan melalui kempen pendidikan, bukan sahaja dalam kalangan pengunjung konsert tetapi juga di masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.

Pada masa sama, beliau melihat terdapat keperluan untuk menyediakan sokongan dan perkhidmatan pemulihan bagi individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah.

“Kematian yang berlaku bukan sahaja membabitkan kehilangan nyawa tetapi juga kesan kepada keluarga dan masyarakat yang terjejas.

“Oleh itu, pendekatan holistik yang membabitkan pencegahan, pendidikan dan pemulihan adalah penting untuk menangani masalah ini secara menyeluruh,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top