nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kerajaan Melaka akan melaksanakan sistem digital bagi mengenal pasti pemilik haiwan ternakan yang berkeliaran di jalan raya.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusof berkata, semua penternak di negeri itu akan diwajibkan mendaftar dengan setiap haiwan ternakan mereka ‘dibekalkan’ kod QR.
“Dalam kod QR berkenaan akan dinyatakan alamat pemilik haiwan ternakan berkeliaran terbabit untuk memudahkan tindakan penguatkuasaan undang-undang diambil.
“Inisiatif itu dilakukan melalui pewartaan terhadap Undang-Undang Kecil (UUK) di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mewajibkan setiap penternak untuk mendaftar dengan sistem berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Inisiatif Kampung Digital Melaka antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Kerajaan Negeri Melaka, di sini, hari ini.
Turut hadir, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Pengerusi SKMM, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Melaka, Datuk Azhar Arshad.
Ab Rauf berkata, inisiatif itu dilakukan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) di setiap daerah di negeri berkenaan dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
“Setiap penternak diwajibkan untuk berdaftar dalam tempoh tiga bulan dengan pihak PBT di daerah masing-masing.
“Bagi haiwan ternakan yang ditemui berkeliaran di jalan raya, ia akan ditangkap dan dilelong dalam tempoh dua minggu sekiranya pemilik tidak membuat tuntutan,” katanya.
Selain itu, katanya, sistem digital juga dikuatkuasakan kepada golongan penarik beca di Melaka.
“Penarik beca mesti berdaftar dalam sistem digital ini dengan semua maklumat mereka disalurkan dalam bentuk kod QR yang boleh diimbas oleh pelanggan.
“Dengan adanya inisiatif ini, kita dapat melindungi keselamatan pelanggan daripada ditipu kadar harga bagi setiap jarak perjalanan mereka.
“Menerusi sistem ini juga, kami dapat mengenal pasti 270 penarik beca selain mengesan lebih 100 penarik beca haram,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd