am@hmetro.com.my
Kuching: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas rokok dan minuman keras pelbagai jenama bernilai lebih RM34 juta dalam dua serbuan berasingan pada Isnin.
Komander PGA Briged Sarawak, SAC Che Ghazali Che Awang berkata, rampasan menerusi Op Taring Alpha itu hasil risikan dan maklumat.
Katanya, serbuan pertama di sebuah premis di bandar raya ini pada 7 pagi yang menemukan 17,250 karton rokok putih, 14,760 karton rokok kretek dan 20,043 liter minuman keras dianggarkan bernilai RM16.325 juta (dengan cukai).
“Serbuan itu turut menahan lima warga tempatan berusia 20 hingga 30 tahun dipercayai penjaga premis.
“Turut dirampas lima lori dipercayai digunakan bagi kemudahan pengangkutan dan jual beli barangan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, pasukan meneruskan serbuan ke sebuah lagi premis di sini pada 8.30 pagi, yang didapati menjadi tempat penyimpanan rokok tiada cukai kastam.
“Tiada sebarang tangkapan dan serbuan menemui 36,750 karton rokok putih pelbagai jenama yang tersimpan di situ dianggarkan RM18.375 juta (dengan cukai),” katanya.
Beliau berkata, tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967.
© New Straits Times Press (M) Bhd