Erissa Puteri terima jodoh datang awal

Erissa Puteri terima jodoh datang awal


KUALA LUMPUR : Bakal menamatkan zaman bujang di usia 22 tahun, pelakon Erissa Puteri, mengakui tidak mampu melawan takdir bahawa jodohnya datang di usia yang muda.

Menurut Erissa yang baharu sahaja bertunang dengan jejaka pilihannya, Daniel Iskandar, Ahad lalu,
dia tidak merancang untuk mengikat tali pertunangan seawal ini apatah lagi tempoh perkenalan mereka tidak sampai setahun.

“Kami tak rancang untuk bertunang seawal ini. Kenal pun tak sampai setahun tapi kalau dah jodoh tak kemana bukan?

“Orang pasti akan bercakap atau tertanya kenapa terlalu awal sangat bertunang umur 22 tahun. Tapi bagi saya bila dah sampai jodoh jangan ditolak.

“Kalau keluarga restu, pasangan pun okey jadi kita jalan saja,”katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Berkongsi kisah perkenalan singkat mereka, pelakon drama bersiri SMK itu menyifatkan Daniel seorang yang berani dan berterus terang biarpun baru sahaja kenal.

Erissa juga terbuka hati apabila Daniel membawanya berjumpa dengan kucing-kucing kesayangan tunangnya itu.

“Apa yang buat saya boleh terima dia adalah keluarga saya sangat suka dengan dia, bila berjumpa mereka cakap dia lelaki yang baik.

“Dan apa yang buat saya tertarik adalah dia bawa saya jumpa dengan kucing-kucing dia. Saya sangat sensitif dengan kucing. Keluarga kami sampai cakap ini cinta ‘sangkar kucing’.

“Dia juga seorang yang bercakap terus, selepas 2 minggu kami kenal dia terus cakap ‘sudikah jadi teman wanita saya?’. Saya terkejut kerana dia sangat berani, jumpa keluarga saya dan berterus terang,” katanya.

Dalam pada itu, Erissa yang juga bekas peserta program realiti, Ceria Popstar itu tiada masalah memilih untuk menamatkan zaman bujang di usia muda biarpun mempunyai karier sendiri.

“Tentang umur dan karier. Saya tiada masalah tentang itu kerana keluarga dia juga ada rumah produksi sendiri. Mereka faham dengan karier saya.

“Sebelum ini kami juga pernah berbincang sekiranya saya masih bekerja dalam industri. Mereka selalu sokong. Orang pasti cakap bila berkahwin tawaran berlakon akan kurang tetapi bagi saya kalau ada rezeki, ada lah,” ujarnya.

Untuk info, Erissa pernah menyertai Ceria Popstar musim kedua pada 2014 dan mula menceburi bidang lakonan dengan drama-drama cilik di Astro seperti Geng UPSR, Puasa Oh Puasa, SMK dan banyak lagi.





Source link

OR

Scroll to Top