Akhyar antara penjaring gol Terengganu ketika berkunjung ke Yangon. Foto Terengganu FC
MISI Terengganu FC membawa pulang tiga mata dari bumi Yangon direalisasikan apabila membelasah kelab Myanmar, Shan United, 5-0 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Bolasepak Thuwunna pada Rabu.
Skuad Penyu kendalian Badrul Afzan Razali tampil ke laman lawan tanpa khidmat tiga penyerang import, Nelson Bonilla, Ivan Mamut dan Ismaheel Akinade.
Namun kudrat tempatan dipertaruhkan Badrul Afzan membuahkan hasil apabila Safawi Rasid terlebih dulu meletakkan skuad Penyu di depan seawal minit ke-11 selepas menyempurnakan sepakan penalti.
Terengganu kemudian melebarkan jaringan kali ini menerusi rembatan pemain import dari Filipina, Manuel Ott minit ke-25 untuk kedudukan, 2-0.
Akhyar Rashid menggandakan kedudukan menjadi 3-0 apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-57 masa kecederaan selepas Engku Nur Shakir Engku Yacob dikasari tonggak pertahanan Zwe Htet Min yang kemudiannya dilayangkan kad merah minit ke-48.
Separuh masa kedua, skuad Penyu terus meningkatkan tekanan bagi menambah jaringan yang akhirnya dijelmakan sekali lagi Ott pada minit ke-64.
Badrul Afzan ketika memberikan arahan kepada pemain-pemain Terengganu. Foto Terengganu FC
Akhyar sekali lagi menjadi duri dalam daging apabila meledak gol kelima pasukan pelawat untuk kedudukan 5-0.
Hasrat Shan United untuk bangkit semakin pudar apabila seorang lagi tonggak pertahanan, Zwe Khant Min menerima arahan keluar padang setelah dilayangkan kad merah minit ke-78.
Terengganu sebelum ini mengumpul satu mata selepas mengharungi dua perlawanan seri 2-2 menentang Dong A Thanh Hoa (Vietnam) diikuti tewas 2-3 kepada Preah Khan Reach Svay Rieng (Kemboja).
Tiga mata diraih anak buah Badrul Afzan naik ke tangga keempat dengan empat mata – tiga mata di belakang pendahulu Kumpulan A, PSM Makassar yang menewaskan kelab Kemboja, Svay Rieng, 1-0 di Stadium Olimpik Phnom Penh.
Makassar akan berkunjung ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin berdepan Terengganu pada 22 Januari ini.