KONGRES Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi memilih tampuk kepimpinan baharu menjelang tarikh tutup permohonan Khamis ini kian membahang.
Fokus pengkritik dan peminat tertumpu kepada calon kerusi panas untuk jawatan presiden bagi menggantikan Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang tidak mempertahankan jawatan tersebut selepas memegangnya sejak 2018.
Perhatian mereka juga tertumpu kepada karakter yang wajib dimiliki calon itu dalam misi memacu bola sepak negara disegani kawan dan lawan sepanjang tempoh empat tahun keberadaan mereka di Kelana Jaya dari 2025 hingga 2029.
Penganalisis sukan, Zainal Abidin Rawop menggariskan tiga ciri yang perlu dimiliki bakal bos FAM yang baharu adalah mempunyai personaliti yang baik, berketerampilan dan wawasan yang jauh dalam bola sepak bermula dari akar umbi sehingga antarabangsa.
Malah beliau menegaskan sifat tanggungjawab juga penting bagi memacu bola sepak negara ke pentas tertinggi.
“Kita mencari seseorang yang memulakan sesuatu projek, tetapi kalau gagal dia juga perlu bertanggungjawab melepaskan jawatan.
“Saya beri contoh. Salah seorang Exco diberi tanggungjawab sebagai pengurus skuad remaja bagi dua kejohanan. Kali pertama pasukan gagal, namun dia minta peluang kedua dan cuba untuk buktikan.
“Namun bagi kejohanan kedua, tak lepas pusingan kelayakan, malah lagi teruk kalah kepada Laos. Jadi dia bertanggungjawab dan letak jawatan sebagai pengurus, namun dia masih lagi Exco,” katanya kepada Sukan Sinar.
Justeru Zainal Abidin menegaskan FAM memerlukan tokoh yang bertanggungjawab memulakan sesuatu perancangan atau projek dan menyelesaikannya dengan positif sepanjang tempoh satu penggal tersebut.
“Buat masa ini pandangan saya tidak ada seorang pun yang bertanggungjawab. Namun apabila pasukan bagus, masing-masing buat kenyataan. Optimis ke final, separuh akhir dalam genggaman.
“Kita tidak mahu macam itu, angan-angan kosong, tetapi perlu realistik,” katanya.
Sebagai rekod borang pencalonan untuk kesemua jawatan tertinggi FAM perlu tiba di Kelana Jaya sebelum 16 Januari ini, manakala pemilihan dijadualkan pada 15 Februari.
Pemilihan kali ini tertumpu kepada jawatan nombor satu dengan nama Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub dicadangkan oleh beberapa ahli gabungan termasuk wakil Persatuan Bolasepak Negeri (FA).
Turut berminat ialah mantan Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah dan pemilihan dihangatkan lagi dengan kesediaan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yang tidak mahu mengambil gaji jika dipilih menerajui badan itu.
Calon lain ialah seorang ahli perniagaan Sayf Ismail yang bersedia menjadi calon bebas.
Bagi jawatan presiden setiap calon perlu meraih enam pencalonan, timbalan presiden (lima), naib presiden (empat) dan Exco (dua).