Keagungan tauhid melangkaui cemuhan duniawi

Keagungan tauhid melangkaui cemuhan duniawi


KUALA LUMPUR: Kisah Nabi Nuh AS dan Rasulullah SAW menjadi teladan jelas betapa seruan dakwah juga sering disalah anggap, bahkan turut dilempar dituduh mempunyai agenda tersembunyi.

Naib Presiden PAS, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah menyeru umat Islam mengambil iktibar kisah diceritakan dalam Al-Quran itu, khususnya dalam menghadapi cabaran mempertahankan kebenaran. 

“Al-Quran mengisahkan bagaimana kaum Nabi Nuh menuduh baginda dengan pelbagai tuduhan yang berat. Mereka mendakwa seruan dakwah Nabi Nuh hanyalah satu muslihat untuk kepentingan peribadi.

“Mereka menyangka baginda ingin meraih pengaruh, kekuasaan, atau kekayaan melalui dakwahnya. Kaum Nabi Nuh memandang baginda penuh dengan syak wasangka.

“Bagi mereka, seruan Nabi Nuh bukanlah kerana kebenaran, tetapi kerana agenda tersembunyi. Nabi Nuh terus-menerus bersabar, menyampaikan risalah Allah tanpa mempedulikan ejekan dan cercaan,” katanya dalam media sosial miliknya.

Mohd Amar turut mengimbau peristiwa ketika pemimpin Quraisy cuba memujuk Rasulullah SAW agar menghentikan dakwah dengan menawarkan tiga perkara iaitu kekayaan, kedudukan, dan wanita.

“Mereka berkata, jika mahukan harta, mereka akan mengumpulkan kekayaan sehingga baginda menjadi orang paling kaya di kalangan mereka. Jika mahu kuasa, mereka bersedia melantik baginda sebagai pemimpin tertinggi mereka.

“Dan jika baginda inginkan wanita, mereka akan memilih wanita tercantik untuk dinikahkan dengan baginda. Namun, Rasulullah SAW menolak semua tawaran ini dengan penuh tegas,” jelasnya. 

Beliau menegaskan bahawa sifat materialistik masyarakat Jahiliah jelas kelihatan dalam budaya mereka, di mana kecantikan fizikal dianggap simbol kelebihan dan wanita sering dijadikan kebanggaan serta hiasan dalam majlis-majlis keramaian.

Selain itu menurutnya, mereka juga menuduh Rasulullah SAW mengalami gangguan mental dan menawarkan bantuan bomoh serta tabib untuk ‘merawat’ baginda. 

Mohd Amar turut mengingatkan bagaimana Nabi Nuh terus-menerus menyeru kaumnya kepada kebenaran walaupun diejek, dipersendakan, dan dituduh mempunyai agenda peribadi.

Dalam keadaan genting jelasnya, Nabi Nuh berdoa kepada Allah agar menghentikan kezaliman yang berleluasa dan membersihkan bumi daripada mereka yang terus menyesatkan orang lain. 

“Kerana jika dibiarkan, mereka hanya akan melahirkan generasi yang mewarisi sifat-sifat yang sama, iaitu ingkar dan penuh dosa,” ulasnya.

Allah kemudian katanya, memerintahkan Nabi Nuh untuk membina sebuah kapal besar di tengah daratan, sesuatu yang tidak pernah terlintas di fikiran manusia pada waktu itu.

“Penduduk kaumnya tidak dapat membayangkan mengapa seorang Nabi akan membina kapal di tengah daratan, jauh dari sumber air yang besar. Bagi mereka, tindakan itu hanyalah satu lagi alasan untuk mengejek dan menghina baginda.

“Namun, apa yang tidak mereka ketahui ialah perintah itu datang dengan hikmah yang tidak dapat dicapai oleh akal mereka,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa pembinaan kapal tersebut memakan masa bertahun-tahun, dengan Nabi Nuh menanam pokok-pokok yang kemudiannya menjadi bahan utama pembinaan.

“Kaumnya yang melihat keadaan ini tetap mempersendakan baginda, menganggap apa yang dilakukan itu sia-sia.

“Mereka berkata sesama mereka, “Adakah hujan akan turun di kawasan kering ini? Atau adakah laut akan datang kepada kita?” ceritanya.

Beliau berkata, setiap kayu dan paku yang digunakan menjadi simbol ketaatan kepada Allah, walaupun kaumnya terus mencemuh usaha tersebut. 

“Kapal ini, walaupun belum siap sepenuhnya, sudah menjadi bukti kebesaran Allah yang mengatur setiap kejadian dengan sempurna. Di sebalik ejekan dan cercaan, Nabi Nuh tetap yakin bahawa apa yang dijanjikan Allah akan menjadi kenyataan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/1/2025

The post Keagungan tauhid melangkaui cemuhan duniawi appeared first on Harakahdaily.



Source link

OR

Scroll to Top