Air Sungai Kabul bertukar jadi merah jambu

Air Sungai Kabul bertukar jadi merah jambu



am@hmetro.com.my

Shah Alam: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengaktifkan Kod Kuning selepas mengesan aliran air berwarna merah jambu di Sungai Kabul sepanjang anggaran 500 meter, hari ini.

LUAS menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, perkara itu dikesan menerusi rondaan dan pemantauan rutin pasukannya di lembangan Sungai Langat, jam 6.40 petang.

“Kod Kuning diaktifkan mengikut Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air untuk tindakan siasatan menyeluruh serta pencegahan/mitigasi segera.

“Ini kerana aliran tercemar terbabit berpotensi memberi impak kepada Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih pada jarak 16.3 kilometer (km),” katanya.

Agensi itu berkata, pihaknya segera menjalankan siasatan dan menjejaki sumber kepada aliran tercemar yang disyaki berpunca daripada sebuah premis kilang di kawasan perindustrian Beranang.

“Semakan di premis menemukan aliran berwarna di titik akhir pelepasan premis sebelum masuk ke Sungai Kabul dan seterusnya ke Sungai Beranang dan Sungai Semenyih.

“Premis berkenaan diarah untuk menghentikan dan menutup pelepasan serta merta. Surat Arahan di bawah Seksyen 121 (1), Enakmen LUAS 1999 diberikan untuk melaksanakan pembersihan serta merta di lokasi dan kawasan yang terlibat,” katanya.

Pada masa sama, LUAS berkata, pihaknya melaksanakan pensampelan di lokasi berkaitan bagi analisis Jabatan Kimia Malaysia (JKM) dan tindakan penguatkuasaan lanjut.

Malah, pemantauan statik juga diaktifkan di Sungai Kabul dengan kekerapan setiap 30 minit dan memantau rapi kerja-kerja pembersihan oleh premis terlibat sehingga selesai.

“Keadaan semasa adalah terkawal dan pasukan LUAS berada di lapangan bagi tindakan dan mitigasi segera,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top