Lisbon: Jurulatih Barcelona, Hansi Flick mengenepikan cakap-cakap mengenai kemampuan pasukannya menjulang trofi Liga Juara-Juara (UCL) tahun ini dan berkata dia hanya fokus untuk memenangi pertembungan di Benfica awal pagi esok dan berusaha meningkatkan prestasi.
Flick melontarkan pujian kepada Liverpool, yang kini mendahului kedudukan teratas Liga Juara-Juara dengan 18 mata penuh, tiga mata di depan Barca di tempat kedua diikuti enam pasukan dengan 13 mata.
Lapan pasukan teratas layak secara automatik ke pusingan 16 dan 16 pasukan seterusnya bertemu dalam playoff. Benfica kini berada di tangga ke-15 dengan 10 mata.
“Masa depan akan memberitahu sama ada kami antara pilihan atau tidak.
“Liga Juara adalah salah satu pertandingan paling sukar untuk dimenangi, tetapi kami perlu mencuba.
“Apabila saya melihat Liverpool, saya melihat pasukan dengan kekuatan yang luar biasa. Mereka adalah salah satu pasukan kegemaran saya di dunia sekarang.
“Kami bermain dengan baik tetapi ada pasukan yang sangat bagus yang juga bermain dengan baik dan kami bersaing merebut tiga gelaran (Liga Juara, LaLiga dan Copa del Rey).
“Benfica adalah pasukan yang bermain dengan sangat baik, ia menyeronokkan untuk melihat bagaimana mereka membina. Angel Di Maria adalah salah seorang pemain kegemaran saya. Mari lihat bagaimana kami lakukan esok,” katanya.
Walaupun Barcelona beraksi di UCL, mara ke suku akhir Copa del Rey selepas membelasah Real Betis 5-1 minggu lalu, mereka masih lagi ketinggalan dalam LaLiga.
Kemenangan terakhir mereka dalam liga adalah 5-1 ke atas Mallorca pada awal Disember dan kini mereka sedang mengalami rentetan empat perlawanan tanpa kemenangan selepas seri 1-1 menentang Getafe yang berada di zon bawah pada Sabtu.
Barcelona kini berada di tempat ketiga mengumpul 39 mata dari 20 perlawanan dan ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu, Real Madrid, dan lima mata di belakang Atletico Madrid.
© New Straits Times Press (M) Bhd