XO House, High Cultured bersatu penuh simbolik

XO House, High Cultured bersatu penuh simbolik


Kuala Lumpur: Bersatu dalam semangat kebersamaan walaupun dengan perbezaan arah dan tujuan, dua syarikat terkenal, XO House dan High Cultured menyifatkan tiada apa yang mustahil dalam kolaborasi ditunjangi.

Namun tanpa diduga, dua syarikat berkenaan sebenarnya berjalan seiring dengan visi pemikiran yang sama sekali gus menyatukan elemen fesyen serta muzik.

Sambutan ulang tahun ke-17 High Cultured tahun ini begitu bermakna bagi mereka, ini kerana menandakan pencapaian penting jenama ‘streetwear’ terkemuka Malaysia ini berkolaborasi bersama syarikat muzik XO House melalui konsert mini pada 17 Januari lalu.

Ia bukan sekadar acara pelancaran produk, tetapi juga sebuah pengalaman yang mengukir memori indah, sukar dilupakan dan penuh makna.

XO House x High Cultured House Party berlangsung dengan penuh tenaga di BentleyMusic Auditorium, dihadiri oleh hampir 1,000 penonton dan peminat yang membanjiri malam yang penuh keceriaan dan kegembiraan.

Selepas penjualan tiket diumumkan, tiket konsert mini berkenaan habis terjual bagaikan pisang goreng panas, hanya dalam tempoh kurang dari seminggu.

Konsert mini ini turut menghasilkan lapan reka bentuk baju eksklusif penuh indah mencerminkan identiti simbolik XO House serta kerjasama yang unik antara dua dunia.

Malah ia turut dipertingkatkan ke tahap yang lebih segar oleh bintang naungan XO House, Iman Troye, Dalia Farhana, Zubir Khan, Naim Daniel dan Alya Mardien yang menghidupkan setiap karya eksklusif dan memamerkan gabungan sempurna ‘streetwear’ yang menjadikan ‘House Party’ ini lebih istimewa adalah ia bukan sekadar pelancaran produk, tetapi turut menampilkan persembahan eksklusif daripada artis terkemuka tanah air.

Selain itu, barangan eksklusif diberikan kepada tetamu dan menambah sentuhan istimewa pada malam itu.

Adib Hamdi selaku Pengasas dan CEO XO House berkata, kerjasama bersama HighCultured ini adalah padanan semula jadi.

“Kami berkongsi visi yang sama untuk menggabungkan seni, inovasi dan budaya pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

‘House Party’ ini umpama pencapaian yang melakar kejayaan manis buat kami,” kata Adib.

XO House ditubuhkan oleh Adib pada tahun 2020 adalah sebuah label rakaman yang menyokong artis muda tempatan dengan menyediakan platform hebat dengan persekitaran positif untuk kejayaan artis.

XO House juga menawarkan pengurusan bakat, pengeluaran muzik dan video, serta perkhidmatan strategi pemasaran.

Dalam perjalanan menempuh cabaran, beberapa kisah kejayaan XO House turut tercipta.

“Iman Troye contohnya pernah dicalonkan untuk Anugerah Pilihan Kanak-Kanak Nickelodeon dalam Kategori Artis Asia Terbaik mewakili Malaysia untuk tahun 2024.

“Tak lupa dua kali Platinum untuk “Langit Yang Sama” nyanyian Dalia Farhana. Baru-baru ini, XOHouse memperkenalkan artis dengan bakat baru, Zubir Khan yang dikenali dengan lagu hit ‘Yennode Macha’ dan Naim Daniel, Juara Anugerah Juara Lagu ke-34.

Selain itu, Alya Mardien, yang barusahaja menandatangani kontrak dengan XO House, akan dibimbing untuk mengembangkan kerjayanya.” kata Adib.

Sementara itu, KC Teo dan Dennis Low selaku pengasas High Cultured berkata, tujuan mereka bekerjasama adalah untuk menyediakan platform bagi kreativiti dan membawa pemikiran positif kepada golongan muda dan penonton yang lebih luas.

“Kami mempunyai jalur visi dan cetusan pemikiran yang sama. Justeru, ini yang membawa kepada kerjasama ini.

“Malah kerjasama ini juga membuka jalan yang kukuh untuk sambutan ulang tahun ke-17 kami dengan acara yang kami lakukan dan rancang. Sebagai salah satu jenama ‘streetwear’ terkemuka di Malaysia, dalam masa 17 tahun, High Cultured telah berkembang dari sebuah permulaan kecil menjadi salah satu jenama ‘streetwear’ utama di Malaysia.

“Dengan lebih daripada 16 cawangan di seluruh Malaysia Barat, jenama ini menjadi nama yang dikenali ramai, terkenal dengan gaya berani dan visi kreatifnya” kata mereka.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top