hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis menyelamatkan lapan lelaki Bangladesh yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan manusia dalam serbuan di sebuah ladang sayur di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang, Kelantan.
Mereka yang berusia antara 27 hingga 47 tahun itu diselamatkan dalam Op Pintas yang dilaksanakan Bahagian D3 (Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran/Atipsom), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman pada jam 12.30 tengah hari, semalam.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam serbuan itu pihaknya turut menahan 25 individu termasuk tiga warga tempatan.
Menurutnya, warga tempatan yang ditahan mengikut Seksyen 12 Akta ATIPSOM dan Seksyen 55B Akta Imigresen membabitkan tiga lelaki berusia 32 hingga 35 tahun yang juga pemilik dan pembantu ladang berkenaan.
“Seramai 19 pekerja ladang ditahan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63, membabitkan 10 lelaki Bangladesh, empat lelaki dan seorang wanita Myanmar, tiga lelaki Sri Lanka, dan seorang lelaki Indonesia berusia antara 24 hingga 40 tahun.
“Selain itu, turut ditahan tiga lelaki Bangladesh berusia 27 hingga 50 tahun yang juga pekerja ladang mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1959/63.
“Lapan warga Bangladesh yang diselamatkan itu dipercayai diperdaya dan dijadikan buruh paksa di ladang berkenaan tanpa menerima gaji selama lebih kurang empat bulan. Mereka diselamatkan mengikut Seksyen 44(1) Akta Anti Pemerdagangan Orang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, fokus operasi berkenaan adalah pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang dengan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI).
“Ladang sayur berkenaan berkeluasan 200 ekar dengan keadaan muka bumi yang berbukit. Ladang tersebut diusahakan untuk tanaman sayur kubis, bawang, dan tomato,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd