BAMTC 2025 bukan sekadar timba pengalaman

BAMTC 2025 bukan sekadar timba pengalaman


PEMILIHAN barisan pemain negara ke Kejohanan Berpasukan Campuran Asia Badminton (BAMTC) 2025 di Qingdao, China bulan depan bukan tangkap muat sebaliknya mempunyai misi besar untuk melakar kemenangan.

Biarpun Malaysia sudah layak ke Piala Sudirman berdasarkan ranking, namun penampilan pemain yang sedang meningkat naik itu bukan seperti ‘penumpang’.

Justeru Ketua jurulatih perseorangan negara, Kenneth Jonassen mahu mereka memberikan yang terbaik dan meraih pengalaman berguna apabila berdepan dengan lawan yang lebih baik.

Beliau berkata, pemain muda perlu didedahkan dengan pertandingan kompetitif, tanpa bergantung kepada proses pembangunan semata-mata.

“Apabila menghantar pasukan (ke BAMTC), anda perlu melakukan yang terbaik. Jika menang ia adalah hebat, namun sekiranya kalah, kami akan menilainya (perbaiki kelemahan).

“Namun kami ke sana untuk menang dalam perlawanan, bukan hanya memikirkan aspek pembangunan sahaja.

“Pembangunan melibatkan mencari cara untuk menang dan itu adalah matlamat kita, mencari cara untuk menang,” katanya ketika ditemui media selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara pada Selasa.

Kem badminton negara bakal dibarisi pemain nombor 27 dunia, Leong Jun Hao dan Justin Hoh (53) untuk perseorangan bagi menggantikan pemain profesional yang dalam proses pemulihan, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong.

K Letshanaa (59) dan Wong Ling Ching (95) telah dipilih untuk mewakili Malaysia dalam kategori perseorangan wanita.

Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Indonesia, Hong Kong dan Kazakhstan.

Dua pasukan teratas dari setiap kumpulan akan mara ke suku akhir.

Jonassen turut menyifatkan cabara sukar menanti Malaysia sekiranya Indonesia dan Hong Kong menurunkan pemain perseorangan terbaik di BAMTC 2025.

Bagaimanapun jurulatih dari Denmark itu berharap dapat melihat para pemain memperagakan aksi terbaik jika kedua-dua pasukan berkenaan menurunkan pemain teratas mereka.

“Terdapat kelebihan dan kekurangan. Sudah tentu, kelebihannya, jika anda bermain menentang pemain yang benar-benar hebat, anda akan berpeluang menghadapi tahap permainan yang tinggi.

“Namun kekurangannya adalah ia akan menjadi sukar untuk menang. Jika anda bermain dengan lawan yang lebih lemah, maka tekanan akan tiba-tiba beralih kepada anda. Ini adalah peluang penting untuk belajar,” katanya.

Selain pemain perseorangan, beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai akan menjadi satu-satunya pemain berpengalaman yang menyertai Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin.

Juara Indonesia Masters 2025, Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta Yap Roy King-Wan Arif Wan Junaidi (20) akan menggalas tugas dalam kategori beregu lelaki.

Beregu wanita pula terdiri daripada Teoh Mei Xing-Go Pei Kee (66) dan Tan Zhing Yi-Cheng Su Hui.



Source link

OR

Scroll to Top