Kettlewell meninggalkan Stadium Fir Park selepas dua tahun berbakti bersama Motherwell. Foto Agensi
STUART Kettlewell meninggalkan tanggungjawab sebagai pengendali kelab Liga Perdana Scotland, Motherwell selepas dua tahun berkhidmat di Stadium Fir Park.
Lembaga kelab itu mendedahkan dengan berat hati menerima peletakan jawatan bekas pengendali Ross County berusia 40 tahun berkenaan yang mengemudi The Steelmen di tempat kelima liga.
Menurut Kettlewell, penderaan peribadi yang menjejaskan keluarganya sehingga mereka tidak mahu menghadiri perlawanan sebagai punca meninggalkan kelab berkenaan.
Motherwell tanpa kemenangan dalam empat perlawanan terakhir termasuk kekalahan berturut-turut kepada pasukan terbawah St Johnstone di Perth.
“Kelab Bola Sepak Motherwell boleh mengesahkan lembaga pengarah kelab dengan berat hati menerima peletakan jawatan Stuart Kettlewell.
“Stuart telah menjelaskan kepada ketua eksekutif Brian Caldwell mengapa dia ingin meletak jawatan,” kata kelab.
Sementara itu, Caldwell berkata: “Sungguh menyedihkan apabila Stuart mula merasakan tiba masa untuk meneruskan perjalanan dunia bola sepaknya.
“Dia mempunyai rekod luar biasa apabila telah menjana jumlah pendapatan perpindahan yang mengagumkan untuk kelab.
“Dia juga pencetus dalam pembangunan Graduan Akademi Motherwell, serta membangunkan pemain muda pinjaman sepanjang tempoh perkhidmatannya.
“Saya sangat kecewa apabila mengetahui kesannya terhadap perasaan dan keluarga. Tiada pengendali, pemain atau pekerja kelab, setiap seorang daripada mereka memberikan yang terbaik untuk kelab, harus berasa seperti ini.”
Kettlewell melatih The Steelmen dalam 92 perlawanan dengan kadar kemenangan 41.3 peratus, tertinggi daripada tujuh pengurus sejak Stuart McCall meninggalkan Stadium Fir Park pada 2014.
Musim pertamanya pada 2023, Kettlewell mengemudi kelab hampir mencapai penamat enam teratas, dan musim lalu mereka mengharungi 10 liga tanpa kalah.
Musim ini Kettlewell membimbing Motherwell ke separuh akhir Piala Liga Scotland pertama dalam tempoh enam tahun sebelum tewas kepada Rangers.
“Penolong pengurus Stephen Frail akan mengendalikan pasukan untuk perlawanan di tempat sendiri menentang pendahulu Liga Perdana Scotland, Celtic,” kata kelab.