Santos sedia 'buka pintu' terima Neymar

Santos sedia 'buka pintu' terima Neymar


Sao Paulo: Presiden kelab bola sepak Santos menegaskan kepada bintang Brazil, Neymar sudah tiba masanya untuk pemain itu kembali beraksi di negara sendiri, dalam satu video yang dikongsikan di media social.

Presiden Santos, Marcelo Teixeira melalui Instagramnya menyampaikan mesej itu kepada Neymar dengan bersedia membuka peluang buat pemain berusia 32 tahun itu membuat kemunculan bersama pasukan pertamanya seperti tahun 2009 lalu.

“Masanya sudah tiba, Neymar. Masanya sudah tiba untuk anda kembali kepada rakyat anda, ke rumah anda, ke kelab tercinta kami,” kata Teixeira.

“Selamat datang kembali, budak Ney!. Datang dan bergembira sekali lagi dengan jersi keramat. Bangsa Santos menanti anda dengan tangan terbuka”.

Sebelum itu, Neymar berseloroh dengan meninggalkan komen mengusik Teixeira,”Agak penat nak kemas barang”, kata Neymar.

Terdahulu, Neymar menamatkan 18 bulan dipenuhi kecederaan di Arab Saudi ketika kelabnya Al-Hilal menyatakan mereka bersetuju untuk menamatkan kontrak pemain itu secara persetujuan bersama.

Bekas pemain Barcelona dan Paris Saint-Germain (PSG) itu beraksi hanya tujuh perlawanan sejak menyertai kelab itu pada Ogos 2023, sekalipun dilapor menerima gaji kira-kira AS$104 juta (RM456 juta) setahun.

Perpindahannya ke Arab Saudi didorong oleh keputusan pemain bintang Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema yang memilih beraksi di Liga Pro Saudi.

Namun dua bulan selepas tiba di Riyadh, dia mengalami kecederaan di lutut kirinya ketika beraksi buat Brazil pada aksi kelayakan Piala Dunia pada Oktober 2023, yang menyebabkannya terpaksa berehat selama setahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top