Van de Ven kembali, Spurs sasar bangkit di Liga Europa

Van de Ven kembali, Spurs sasar bangkit di Liga Europa


London: Pengurus Tottenham Hotspur, Ange Postecoglou akhirnya menerima sedikit berita baik apabila pertahanan utama, Micky van de Ven disahkan cergas untuk beraksi menentang IF Elfsborg dalam saingan Liga Europa Jumaat ini.

Pemain kebangsaan Belanda berusia 23 tahun itu sebelum ini diketepikan sejak mengalami kecederaan hamstring dalam kekalahan 3-4 kepada Chelsea pada Disember lalu.

“Micky sudah bersedia. Kami akan cuba memberikannya beberapa minit permainan. Dia menjalani latihan yang baik sepanjang 10 hari ini,” kata Postecoglou kepada media.

Walaupun dua kali mengalami kecederaan hamstring musim ini, Postecoglou menegaskan beliau tidak ragu-ragu untuk meletakkan Van de Ven terus ke dalam kesebelasan utama.

“Saya tak bimbang, dia perlu kembali beraksi juga. Kami lakukan segala yang mungkin, dia lulus semua ujian dan mendapat lampu hijau daripada pasukan perubatan,” katanya.

Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi Tottenham apabila James Maddison bakal direhatkan dua hingga tiga minggu kerana kecederaan betis, manakala rakan gandingan Van de Ven di pertahanan tengah, Cristian Romero, masih belum cergas sepenuhnya.

Kelab itu juga masih tanpa penyerang Dominic Solanke dan penjaga gol utama, Guglielmo Vicario.

Tottenham kini bergelut dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan hanya satu kemenangan dalam 11 perlawanan terakhir dan berada di tangga ke-15.

Namun, mereka boleh memastikan tempat dalam kelompok lapan teratas Liga Europa serta mara ke pusingan 16 terbaik dengan sekurang-kurangnya keputusan seri menentang Elfsborg.

Selain itu, Spurs turut memiliki peluang memburu kejuaraan dalam dua kejohanan domestik, dengan perlawanan separuh akhir kedua Piala Liga menentang Liverpool minggu depan serta pusingan keempat Piala FA bertemu Aston Villa.

Walaupun kempen EPL mereka mengecewakan, kelab itu masih optimis untuk menamatkan penantian trofi sejak 2008.

Bintang tengah Sweden, Dejan Kulusevski menegaskan bahawa Postecoglou tetap individu terbaik untuk mengemudi pasukan.

“Kami sudah tunjukkan permainan yang luar biasa, bola sepak yang tak banyak pasukan lain mampu mainkan, seperti ketika menewaskan City 4-0. Jadi saya yakin dia orang yang tepat,” katanya.

“Kami mahu menang untuknya, dan saya mahu bermain mengikut corak bola sepak yang diinginkannya. Saya percaya dengan gaya permainan ini.”

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top