Pemergian Lahad Dadok ditangisi rakan sepasukan

Pemergian Lahad Dadok ditangisi rakan sepasukan


PEMERGIAN legenda bola sepak Johor, Allahyarham Lahad Dadok Sulik, 62, di Madinah pada Ahad ditangisi rakan-rakan sepasukan, terutamanya bagi mereka yang pernah beraksi bersama dan menjulang trofi Piala Malaysia buat kali pertama setelah menewaskan Wilayah Persekutuan, 2-0, di Stadium Merdeka pada 1985.

Kapten skuad Jengking ketika itu, Khalid Shahdan berkata, pemergian Allahyarham agak mengejutkan kerana beliau kelihatan sihat ketika mereka bertemu dalam satu majlis keraian dua tahun lalu.

“Bila sudah tidak aktif, masing-masing bawa diri dan memang sudah jarang berjumpa. Berita arwah meninggal dunia pun saya dapat tahu dari dalam grup whatsapp dan agak terkejut jugalah.

“Seingat saya, arwah merupakan seorang yang baik dan kami sudah macam adik beradik. Semasa main dulu duduk bawah kolong Stadium Larkin (Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos) dan tidur bersama-sama… jadi memang rapatlah.

“Tambahan pula, kami bermain di posisi yang sama (tengah), jadi memang selalulah bersaing antara satu sama lain untuk rebut tempat dalam ‘first eleven’ (kesebelasan utama),” katanya.

Skuad Johor ketika muncul juara Piala Malaysia pada 1985. Foto Johor FA

Berdasarkan laporan, Allahyarham Lahad Dadok yang juga Presiden Persatuan Kebajikan Lagenda Bola Sepak Negeri Johor (JSL) menghembuskan nafas terakhirnya di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Az-Zahra di Madinah, setelah dilaporkan mengalami ‘uncontrol diabetic’ iaitu tahap gula dan darah putih sangat tinggi,serta masalah buah pinggang.

Allahyarham yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan pada Kejohanan Pesta Bola Merdeka pada 1983 dan 1984 selain Kejohanan Piala Jakarta Raya pada 1983, dijangka pulang ke tanah air pada Rabu.

Khalid berkata, Allahyarham juga merupakan seorang yang baik dan sentiasa membantu rakan-rakan sepasukan.

Tambah beliau, pemilihan Lahad Dadok selaku Presiden Persatuan Kebajikan Lagenda Bola Sepak Negeri Johor (JSL) juga dilihat bertepatan dan bersesuaian.

“Arwah Kalau nak kata lawak, tak juga. Biasa-biasa sahaja orangnya, normal tapi memang baik dan suka membantu. Boleh kata, keakraban kami dah macam adik beradik dan ukhuwah tersebut dijaga sehinggalah ke akhir hayatnya,” katanya.

Sementara itu anak sulung Allahywarham, Afiq Rifqi, 38 berkata, jenazah bapanya akan dikebumikan di tanah perkuburan Al-Baqi, Madinah al-Munawwarah.



Source link

OR

Scroll to Top