saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Mungkinkah penyerang sensasi negara, Faizal Saari akan mengumumkan persaraannya?
Itu persoalan yang berlegar ketika ini selepas penyerang Malaysian Tigers berusia 34 tahun itu memuatnaik status Insta Story dengan kapsyen ‘akan umumkan tidak lama lagi’.
Ia seakan memberikan gambaran pemain yang sudah menjaringkan 176 gol sepanjang 302 penampilannya bersama skuad kebangsaan itu bakal menggantung kayu hoki.
Faizal bagaimanapun enggan mengulas lanjut, sebaliknya meminta semua pihak termasuk media bersabar sebelum dirinya mengumumkan sesuatu.
“Sabar-sabar, sikit lagi,” katanya ringkas ketika dihubungi.
Penyerang Pasukan Hoki Terengganu (THT) di saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) itu menerusi laporan di Arena Metro sebelum ini pernah berkata dirinya belum pasti sama ada akan kembali menyarung jersi skuad negara ataupun sebaliknya.
Katanya, dia mahu berehat daripada mewakili skuad negara selepas lebih 15 tahun bergelumang dalam sukan berkenaan.
Bagaimanapun pemain berusia 34 tahun itu menyatakan dia akan terus menyarung jersi pasukan kelab THT sekiranya khidmatnya masih diperlukan.
Kecuali temasya Sukan Olimpik, Faizal sudah beraksi dalam hampir semua pertandingan antarabangsa, antaranya termasuklah di Piala Dunia, Sukan Asia, Sukan Komanwel, Piala Asia serta Trofi Juara-Juara Asia.
Sepanjang pembabitannya dalam sukan itu, Faizal yang juga abang kepada kapten THT, Fitri pernah berkelana ke luar negara beraksi dengan kelab India, Mumbai Magicians dan kelab Australia, Southern Hotshots.
© New Straits Times Press (M) Bhd