UM kembalikan senyuman suku kaum Semai di Raub, Pahang

Kuala Lumpur: Seramai 42 sukarelawan terdiri daripada Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Fakulti Pergigian Universiti Malaya, Pusat Perubatan Universiti Malaya, PPB Group Berhad, Pertubuhan Komuniti ELITE, National Cancer Society of Malaysia (NCSM) dan Breast Cancer Welfare Association Malaysia (BCWA) telah mengikuti Program Khidmat Masyarakat bersama Orang Asli yang berlangsung selama tiga hari di Sekolah Kebangsaan Satak (SK Satak), Raub, Pahang pada 26 hingga 28 Julai 2024 dari jam 8.30 pagi sehingga 4.00 petang.

Fakulti Pergigian, Universiti Malaya merupakan salah sebuah institusi yang mengambil bahagian dalam program yang bermakna ini. Objektif program ini adalah untuk memberikan perkhidmatan kesihatan pergigian yang menyeluruh kepada masyarakat Orang Asli di Raub, Pahang. Ini termasuk, pendidikan kesihatan mulut, penskaleran mulut, topikal fluorida dan tampalan gigi mudah jika perlu. Selain itu, impak yang ingin dicapai melalui program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat Orang Asli terhadap pengesanan awal kanser mulut.

Terdapat beberapa aktiviti interaktif menarik yang melibatkan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Satak telah diadakan pada hari pertama program. Seramai 80 orang pelajar Tingkatan 1 dan 2 telah menyertai aktiviti -aktiviti yang dianjurkan. Antara aktiviti yang dilaksanakan kepada para pelajar sekolah berkenaan adalah demonstrasi memberus gigi yang telah ditunjuk ajar oleh Pelajar Pasca ijazah Fakulti Pergigian, Universiti Malaya. Di samping itu,  berus gigi dan ubat gigi berflorida diberi secara percuma kepada semua pelajar yang terlibat sebagai tanda galakan dalam penyertaan aktiviti.

Selain itu, kuiz tentang kesihatan mulut turut diberikan kepada pelajar sekolah berkenaan. Aktiviti sebegini ini adalah untuk menilai tahap kefahaman pelajar tentang kesihatan mulut dan dapat memupuk serta mempraktikkan penjagaan keseihatan pergigian dalam kehidupan harian mereka. Para pelajar tampak sangat proaktif dan gembira melibatkan diri dalam aktiviti yang dianjurkan.

Pada hari kedua dan ketiga, pemeriksaan dan rawatan pergigian seperti penskaleran gigi atau cuci gigi, tampalan pergigian, sapuan fluorida kepada kanak-kanak turut dijalankan oleh pakar pergigian Fakulti Pergigian Universiti Malaya secara percuma. Seramai 500 orang kampung daripada lapan buah perkampungan Orang Asli yang berdekatan dengan SK Satak hadir untuk mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan dan rawatan pergigian.

Pendidikan kesihatan pergigian dan saringan kanser mulut telah diberikan kepada penduduk kampung yang hadir untuk meningkatkan kesedaran mereka terhadap kesihatan mulut dan kanser mulut. Program khidmat masyarakat ini mendapat sambutan yang sangat luar biasa daripada penduduk kampung tersebut. Hal ini diakui oleh guru besar SK Satak, En Azman bin Suhor yang terkejut dan bersyukur melihat kesungguhan dan kerjasama yang diberikan oleh penduduk di kawasan tersebut.

Program khidmat masyarakat ini bukan sahaja memberi manfaat kepada penduduk Orang Asli Semai, ia juga memberi pengalaman berharga kepada pasukan pergigian dari UM. Kegembiraan seluruh penduduk kampung jelas terpancar di wajah mereka. Semoga program ini dapat memberi manfaat kepada semua masyarakat Orang Asli dan membuatkan mereka lebih cakna kepada kepentingan penjagaan kesihatan pergigian mereka.

 

Maklumat lanjut mengenai program ini boleh didapati melalui
Dr. Mohd Amirul Fahmi Che Mohd Fadzilah
Email: amirulfahmi@um.edu.my

OR

Scroll to Top