Kuala Lumpur: Perkembangan Teknologi Kecerdasan (AI) yang semakin pantas dalam pelbagai aspek kehidupan manusia pada hari ini telah membawa pelbagai impak kepada global. Impak atau kesan utama dapat dinilai melalui pelbagai kemudahan yang telah dibawa oleh AI seperti kepantasan dalam bidang komunikasi yang membolehkan perhubungan di antara manusia secara global dapat dilakukan dengan pantas, kos yang lebih efisyen dan inklusif.
Malah penggunaan teknologi AI juga membolehkan komunikasi yang lebih interaktif dapat dilakukan secara bersemuka melalui aplikasi Facetime atau Google Meet. Dalam aspek ekonomi, perkembangan AI telah membawa kesan positif kepada penggiat E-Dagang iaitu perniagaan dapat diluaskan melalui jualan atas talian atau Online seperti di platfom TikTok, Instagram dan Facebook, dengan tontonan dari seluruh dunia. Promosi dan penjualan barangan juga dapat dilakukan dengan kos yang lebih murah dan menjimatkan masa.
Kesan positif hasil daripada perkembangan teknologi AI telah membuka minda masyarakat global tentang pentingnya keberadaan AI dalam kehidupan seharian manusia khususnya dari perspektif sosial. Tiada lagi kegusaran masyarakat terhadap dakwaan bahawa teknologi AI akan memonopoli seluruh kehidupan manusia, sebaliknya kegusaran bertukar kepada keterujaan setiap generasi dengan hadirnya AI sebagai pelengkap kehidupan mereka. Keterujaan dalam menggunakan teknologi AI pada hakikatnya perlu kepada kebijaksanaan manusia untuk mengawal sistem algoritma agar setiap tingkahlaku dan perbuatan yang dilakukan tidak dikawal sepenuhnya oleh teknologi AI.
Walau bagaimanapun perkembangan teknologi AI yang semakin pantas mula menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ahli akademik, pembuat dasar, dan pemain industri termasuk masyarakat secara global terhadap pelbagai impak negatif yang mula timbul daripada teknologi AI. Pelbagai isu sosial yang semakin menular akibat penggunaan teknologi AI secara berlebihan khususnya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja seperti isu buli siber termasuk mengaibkan bentuk badan dan wajah (body shaming), penggunaan perkataan berupa kejian, bahasa kurang sopan dan penipuan siber yang semakin berleluasa.
Kajian yang dilakukan oleh Martin dan Tandon pada tahun 2022 menunjukkan ramai kanak-kanak dan golongan remaja mengalami depresi atau kemurungan akibat tekanan yang dihadapi sehingga membawa kepada peningkatan pesakit mental dan perlu kepada khidmat pakar psikiatri. Manakala pengguna, pembeli atau pengusaha perniagaan melalui atas talian atau online business sering mengalami isu seperti penipuan siber atau scammer, kebocoran data peribadi, barangan yang dijual tidak berkualiti dan ketidakjujuran peniaga di atas talian.
Pelbagai isu yang berlaku dalam teknologi AI telah membawa kepada perlunya garis panduan khusus yang perlu dijadikan panduan pengguna untuk memastikan keselamatan pisikologi, emosi, fizikal dan kerahsiaan data peribadi pengguna AI terjamin. Keperluan terhadap garis panduan etika dan draf polisi untuk melindungi hak asasi dan keselamatan pengguna AI juga telah dibangkitkan oleh negara United Kingdom dan Amerika Syarikat yang telah memperkenalkan beberapa prinsip teras dalam penggunaan AI untuk mengelakkan pelbagai isu etika yang mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat.
Dalam perspektif hukum Islam, kesedaran pengguna teknologi AI dalam kalangan masyarakat Islam perlu berasaskan kepada 5 prinsip asas iaitu T.A.B.I.B iaitu; (i) Tabayyun, membuat penilaian dan rasional dalam penggunaan teknologi, (ii) Amanah, iaitu amanah terhadap agama, diri sendiri, dan masyarakat dalam menjalankan aktiviti di laman sosial, (iii) Berakhlak, dengan menjaga sahsiah dan moral dalam berinteraksi dan membuat hantaran di laman sosial, (iv) Integriti iaitu bertanggungjawab terhadap setiap perlakuan, interaksi dan sahsiah, dan (v) Bijak, iaitu sentiasa menggunakan rasional atau intelek dalam penggunaan teknologi AI. Prinsip asas tersebut adalah bertepatan dengan maqasid al-syariah yang bermatlamatkan menjaga dan mengutamakan kepatuhan terhadap agama, diri, emosi, keturunan dan harta.
Pengguna perlu memahami bahawa teknologi AI berfungsi hasil daripada data yang telah diprogramkan dan input yang telah dimasukkan oleh pengguna sendiri melalui pelbagai aplikasi teknologi. Justeru, garis panduan yang berteraskan 5 prinsip di atas merupakan tunjang utama kepada pengukuhan jati diri pengguna untuk mengelakkan daripada pelbagai isu negatif yang dialami oleh pengguna teknologi AI. Etika dalam sistem teknologi AI tidak akan berubah akan tetapi pengguna teknologi yang perlu bijak dalam mendepani dan mengawal teknologi AI dengan tabayyun, amanah, berakhlak, integriti dan bijak.
Perlu difahami bahawa hukum Islam bersifat dinamik terhadap perkembangan teknologi tetapi penggunaannya perlu selaras dengan syariat Islam bagi menjamin sahsiah dan maslahah terjamin untuk kesejahteraan semua pihak. Pengguna teknologi AI perlu mengamalkan sifat bersederhana dalam melayari teknologi interaktif ini agar perlakuan dan impak negatif teknologi AI dapat dikawal.
Oleh: Dr Ariyanti Mustapha
Penulisan ini adalah sebahagian dari dapatan kajian di bawah Geran Khas Penyelidikan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM). Penulis merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh dan Usul APIUM, dan boleh dihubungi di ariyanti@um.edu.my