Operasi besar-besaran tangkap lembu berkeliaran di Selangor mulai 1 Mei

Operasi besar-besaran tangkap lembu berkeliaran di Selangor mulai 1 Mei


SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan melaksanakan operasi besar-besaran bagi menangkap lembu ternakan yang dibiarkan berkeliaran di negeri itu bermula Mei depan.

Kajian mendapati sebanyak 4,000 daripada 39,941 ekor lembu dan kerbau didapati berkeliaran di semua daerah di Selangor.

Exco Infrastruktur dan Pertanian, Datuk Izham Hashim berkata, isu itu dipandang serius kerana mengancam keselamatan awam terutama kemalangan jalan raya dan kerosakan harta benda.

“Statistik tahun lalu juga merekodkan sebanyak 251 kes kemalangan melibatkan lembu termasuk dua mangsa maut dan enam lagi parah di negeri ini.

“Justeru, kita tidak akan berkompromi dan akan mula melaksanakan operasi berskala besar secara bersepadu pada Mei nanti,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Jelasnya, beliau memahami keadaan penternak haiwan itu namun mereka perlu mencari jalan untuk mengatasinya.

“Sebagai contoh, penternak yang tiada tanah boleh membuat permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) atau Pejabat Daerah dan Tanah (PDT). Mereka boleh menyewa tanah dengan pihak swasta untuk menempatkan lembu. Itu adalah tanggungjawab mereka dan bukannya kerajaan negeri,” tegasnya.

Kata Izham lagi, pihaknya turut bersetuju dengan cadangan meminda Enakmen Mengawal Lembu Kerbau 1971 termasuk kaedah pelesenan lembu kerbau.

“Penggubalan itu penting bagi mengenalpasti pemilik lembu kerbau dengan menggunakan ‘tagging’ atau tanda pengenalan pada setiap lembu dan kerbau.

“Proses pindaan enakmen itu mungkin mengambil masa alam namun kita tetap akan mengambil tindakan tegas kepada pihak terlibat,” ujarnya.

Selain itu beliau memberitahu, tindakan jangka pendek bagi menyelesaikan isu itu antaranya meneruskan operasi penguatkuasaan ke atas pemilik haiwan yang tidak bertanggungjawab.

“Berdasarkan Akta 171, PBT boleh mengambil tindakan atas kesalahan kacau ganggu manakala PDT berkaitan penggunaan tanah dan syarat nyata tanah.

Selain itu, tindakan DVS boleh diambil mengikut Akta 772 berkaitan pemilikan haiwan. Bagi Seksyen 289 Kanun Keseksaan, ia melibatkan kecuaian menjaga haiwan,” katanya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top