KERAJAAN Selangor mahu mengubah persepsi komuniti khasnya ibu bapa terhadap e-sukan dengan penganjuran Kejuaraan Selangor Future Cup 2025.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, e-sukan seringkali dianggap sebagai aktiviti yang tidak memberi nilai tambah kepada akademik dan sahsiah pelajar.
Namun katanya, melalui program itu pihaknya mahu membuktikan bahawa e-sukan boleh menjadi kerjaya yang menjanjikan masa depan cerah, sambil mengekalkan keseimbangan dengan pendidikan akademik.
“Matlamat utama program ini adalah untuk mengenal pasti dan membangunkan bakat muda dalam e-sukan di peringkat sekolah menengah.
“Inisiatif ini bertujuan mengembangkan bakat pelajar bawah 17 tahun di seluruh Selangor dalam bidang e-sukan secara kompetitif serta membina kemahiran strategik, kepimpinan dan kerjasama berpasukan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran program di AEON Big Shah Alam pada Khamis.
Tambah Mohd Najwan, melalui inisiatif itu, pemain yang berbakat akan diberi bimbingan melalui program pembangunan gaming profesional yang disokong Selangor Red Giants dan Todak.
“Pihak Todak juga bersetuju untuk menawarkan biasiswa kemahiran kepada pemenang bagi melanjutkan pengajian dalam bidang e-sukan,” katanya.
Selangor Future Cup 2025 anjuran kerajaan Selangor melalui Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Keusahawanan, mendapat kerjasama rakan strategik termasuk Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPN), Selangor Red Giants, (SRG), Todak serta AEON yang menyediakan venue di AEON Mall Shah Alam.
Selangor Future Cup 2025, kejohanan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) melibatkan penyertaan 64 sekolah menengah seluruh Selangor dijadualkan menyingkap tirai dari 22 hingga 23 Februari.
Sementara itu, Mohd Najwan berterima kasih kepada JPN Selangor yang telah memberikan kerjasama penuh dalam menjayakan program itu.
“Pada awalnya, terdapat sedikit cabaran dalam mendapatkan akses kepada sekolah-sekolah untuk mengenal pasti bakat, namun dengan bantuan dari JPN, kita berjaya melibatkan 64 sekolah dalam program ini.
“Ini kali pertama e-sukan mendapat penglibatan langsung daripada pihak sekolah. Ini menunjukkan komitmen kita dalam memastikan pembangunan bakat e-sukan bukan sekadar program ‘one-off’, tetapi mempunyai kesinambungan berterusan.
“Selepas kejohanan ini, para pemenang akan dibimbing secara profesional oleh pihak Todak dan Selangor Red Giants. Ini berbeza dengan program sebelum ini yang hanya berakhir selepas pertandingan tamat.
“Kali ini, kami melihat kepentingan pembangunan bakat secara berterusan agar atlet e-sukan di Malaysia mendapat manfaat sepenuhnya daripada penganjuran program,” katanya.