Variasi perawatan tubuh

Variasi perawatan tubuh



nurul_husna@hmetro.com.my

Urutan bukan hanya dilihat satu bentuk perawatan kecantikan semata-mata, tapi ia juga manifestasi keunikan dan budaya sesuatu bangsa.

Tidak hairan perkhidmatan pusat kecantikan memiliki variasi urutan tersendiri yang bertujuan membantu khususnya wanita merawat tubuh mereka.

Lazimnya pusat kecantikan menawarkan urutan tertentu dari urutan tradisional tempatan seperti urutan Melayu sehingga kepada penawaran urutan berdasarkan permintaan.

Menurut Timbalan Presiden Persatuan Spa Malaysia (AMSPA) dan Pengasas NK Spa Tapah, Naziah Pir Khan, variasi urutan penting dalam mempelbagaikan pilihan urutan kepada wanita atau sesiapa sahaja yang memerlukan perawatan tubuh.

“Tidak dinafikan urutan antara elemen penting dalam perkhidmatan di pusat kecantikan dan spa tempatan.

“Setiap spa yang mempunyai jenis urutan tersendiri dan kebanyakannya memperkenalkan urutan tradisional Melayu menerusi penggunaan minyak herba ketika mengurut.

“Tidak lupa juga beberapa urutan lain yang sudah lama bertapak seperti urutan Thailand, urutan Bali, urutan batu panas, refleksologi, aromaterapi dan urutan Swedish (sejenis urutan dari Sweden) yang begitu dikenali dalam kalangan mereka mengunjungi pusat kecantikan.

“Tiada istilah mana satu lebih baik atau lebih hebat kerana setiap jenis urutan memiliki keistimewaan dan keunikan tersendiri.

“Malah boleh saya samakan variasi urutan yang ada ini satu seni dan boleh dipelajari untuk kebaikan masyarakat terutama dalam menjaga tubuh serta fikiran juga,” katanya.

Beliau menegaskan tujuan mengurut bagi individu baik wanita mahupun lelaki ialah untuk kesihatan tubuh selain mampu membangkitkan rasa tenang dan relaks.

“Industri perawatan dan kecantikan ketika ini melihat urutan juga satu kemahiran yang ditauliahkan kerana ia membabitkan keselamatan serta kesejahteraan individu.

“Saya yang juga jurulatih bertauliah untuk HRDCorp dan Jabatan Pembangunan Kemahiran kerap memberi latihan dalam bidang urutan spa melihat profesion tukang urut diangkat kepada juruurut dan juruterapi bagi memperlihatkan urutan satu kemahiran serius.

“Walaupun juruurut menguasai lebih daripada lima jenis urutan, tetapi mereka masih perlu mengikuti kursus asas yang menekankan kepada pengenalan tubuh dan anatomi sistem manusia.

“Pengetahuan ini penting yang mana dalam istilah dipanggil ‘kontraindikasi’ merujuk kepada kemungkinan buruk selepas diurut dapat dicegah menerusi pengetahuan terbabit,” katanya.

Tambahnya yang lebih mesra disapa Nikky berkata, variasi urutan yang pelbagai juga memberi impak baik kerana teknik pelbagai membolehkan individu yang diurut mendapat efek optimum mengikut keperluan tubuh mereka.

“Dalam urutan tradisional Melayu, elemen utama teknik ini memberi tumpuan kepada penggunaan tekanan pada ibu jari untuk mengurut bahagian tertentu.

“Selain itu, penggunaan herba tempatan seperti akar kayu juga meningkatkan pengalaman mengurut.

“Berbeza dengan teknik urutan dari negara jiran, Thailand yang banyak elemen meregang dan senaman.

“Sementara itu, dalam teknik urutan Swedish lebih kepada urutan yang menenangkan dan tidak terlalu menekan.

“Mereka yang mendapatkan khidmat urutan di spa tempatan boleh merasai pelbagai jenis teknik urutan yang wujud seperti usapan, geseran, menguli, tepuk, gegaran dan banyak lagi apabila juruurut boleh menggabungkan teknik terbabit mengikut keperluan pelanggan,” katanya.

Beliau tidak lupa mengangkat seni urutan direka pakar tempatan urutan Malaysia iaitu urutan kombinasi teknik menggabungkan keunikan semua kaum ada di negara ini.

“Kita juga ada urutan unik yang boleh diperkenalkan peringkat global iaitu urutan Malaysia.

“Urutan ini adalah gabungan unsur terbaik daripada urutan tradisi Melayu dan pelbagai teknik urutan masyarakat asal tempatan.

“Antaranya teknik rendaman kaki herba Malaysia, Pernafasan Qi Gong Cina, urutan kepala India dan refleksologi.

“Pengalaman mengurut teknik ini juga bertujuan meningkatkan lima deria, penglihatan, bau, bunyi, rasa dan sentuhan.

“Sepanjang individu menjalani urutan Malaysia, mereka diiringi dendangan muzik terapeutik Malaysia, hiasan dan aksesori berasaskan elemen Malaysia seperti batik, herba aromatik dan rempah-ratus,” katanya.

Nikky berharap urutan Malaysia yang direka pelopor dan pakar kemahiran urut itu dapat berkembang serta diterima meluas masyarakat negara ini khususnya.

“Saya tentu saja berharap urutan Malaysia dapat dikembangkan dan popular seperti urutan lain.

“Kekuatan dalam teknik setiap urutan dalam kaum atau masyarakat di Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak ada dalam urutan ini. Ini adalah urutan autentik mewakili keharmonian masyarakat kita,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top