Penahanan penjual buku warga Palestin cetus protes di Baitulmaqdis

Penahanan penjual buku warga Palestin cetus protes di Baitulmaqdis


Baitulmaqdis: Puluhan penunjuk perasaan berkumpul di luar sebuah mahkamah di Baitulmaqdis pada Isnin untuk membantah penahanan dua penjual buku warga Palestin di bahagian timur bandar itu, yang diduduki Israel sejak 1967 sebelum dianeksasi (pemilikan paksa).

Penunjuk perasaan melaungkan slogan mengecam Israel sebagai negara fasis serta memegang plakad yang menuduh negara itu sebagai pengecut.

Mahmud dan Ahmad Muna, yang ditahan pada Ahad, dijadualkan hadir di mahkamah untuk prosiding pertuduhan.

Kedua-duanya bekerja di Educational Bookshop, sebuah institusi budaya terkenal di Baitulmaqdis Timur.

“Pegawai polis Daerah Baitulmaqdis menahan dua penduduk Baitulmaqdis Timur yang disyaki menjual buku yang mengandungi hasutan dan sokongan terhadap keganasan,” kata polis dalam satu kenyataan.

Ketika operasi itu, polis menemukan buku yang bertemakan ‘nasionalisme Palestin’, menurut kenyataan itu dan menjelaskan polis sudah meminta mahkamah melanjutkan tempoh tahanan penjual buku terbabit.

Peguam keluarga Muna, Nasser Odeh berkata, ratusan buku dirampas pada Ahad.

Sidra Ezrahi, seorang peserta protes yang berketurunan Israel-Amerika, menyifatkan penahanan itu sebagai tidak boleh dipercayai.

“Kami datang ke kedai buku ini bukan hanya selama bertahun-tahun, tetapi sejak beberapa generasi,” kata penunjuk perasaan berusia 80-an itu dan menyifatkan penahanan itu adalah “tepat seperti yang dilakukan oleh negara fasis.”

Francesca Albanese, pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk wilayah Palestin, turut mengecam serbuan itu.

“Saya terkejut dengan serbuan pasukan Israel ke atas (kedai) Educational Bookshop di Baitulmaqdis Timur – sebuah mercu intelektual dan permata keluarga yang menentang penghapusan Palestin di bawah aparteid,” tulisnya di platform X.

“Warga antarabangsa di Baitulmaqdis: sila tampil, berdiri bersama keluarga Muna dan lindungi pusat ilmu yang penting ini,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top