Terengganu alih tumpuan baiki kedudukan liga

Terengganu alih tumpuan baiki kedudukan liga


Terengganu tekad memperbaiki kedudukan baki saingan liga bermula dengan pemburuan tiga mata ke atas Kuala Lumpur City, pada Jumaat. Foto: Terengganu FC

TERENGGANU FC berazam meneruskan momentum kemenangan apabila melayan kunjungan Kuala Lumpur City FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam esok.

Pengendali skuad Penyu, Badrul Afzan Razali berkata, pemainnya perlu memanfaatkan aksi di laman sendiri untuk mengutip tiga mata penuh, sekali gus memperbaiki kedudukan di pentas liga.

“Pemain perlu lebih fokus dan kembali cergas bagi mengekang serangan Kuala Lumpur.

“Kita masih ada baki tujuh perlawanan dalam Liga Super dan setakat ini kita ketinggalan lima mata di belakang Sabah di tempat ketiga.

“Untuk peluang naik ke kedudukan tiga teratas, Terengganu tak boleh lagi keciciran mata.

“Kita akan manfaatkan sepenuhnya empat aksi di tempat sendiri untuk kutip mata maksima sebagai cabaran kepada Sabah,” katanya.

Bekas pemain tengah Terengganu berusia 49 tahun itu turut mengingatkan pemain skuad Penyu supaya mengawal ketat penyerang naturalisasi Paolo Josue yang disifatkan sebagai ancaman besar kepada pertahanan.

Katanya, keupayaan Josue untuk menyudahkan setiap peluang terhidang menjadikan pemain itu senjata lawan yang cukup ampuh serta berbahaya.

“Apatah lagi Terengganu juga bermasalah di bahagian serangan. Sejujurnya saya masih tidak berpuas hati dengan barisan hadapan.

“Boleh dikatakan di setiap perlawanan kita mempunyai peluang, tetapi tak dapat menjaringkan gol kerana ketumpulan serangan,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top