Manchester United ketuk pintu penajaan Perodua?

Manchester United ketuk pintu penajaan Perodua?


Perodua mendedahkan kemungkinan menaja kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester United sebagai sebahagian penglibatan lebih luas dalam dunia sukan pada masa depan Foto Agensi (Gambar kecil: Asmat Kamaludin)

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) mendedahkan kemungkinan menaja kelab Liga Perdana Inggeris, Manchester United sebagai sebahagian penglibatan lebih luas dalam dunia sukan pada masa depan.

Pengerusinya, Tan Sri Asmat Kamaludin bagaimanapun menjelaskan sebarang cadangan penajaan sama ada di Malaysia atau di tempat lain memerlukan pertimbangan yang teliti.

“Baru-baru ini, saya tidak tahu sama ada saya patut mengatakan ini… tetapi saya menerima surat daripada bekas juara Eropah, Manchester United yang bertanya sama ada mereka boleh menampilkan logo Perodua pada salah satu jersi mereka dan sama ada kami boleh menaja mereka.

“Tetapi itu hanya contoh orang yang meminta sokongan kami (dari segi penajaan) dalam bola sepak. Seperti yang saya katakan, kami akan mempertimbangkannya terutamanya di Malaysia.

“Saya biasanya tidak mengatakan ini di khalayak ramai, tetapi saya penyokong Arsenal. Jika saya melakukannya, ia tidak adil kepada pasukan Arsenal saya,” katanya berseloroh.

Asmat berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran edisi kelima Siri Golf Amatur Kebangsaan (PNAGS) di Kelab Golf dan Country Saujana, Subang Jaya pada Khamis.

Sebagai rekod, Perodua kini menaja PNAGS dan kejohanan badminton Malaysia Masters.

INFO

PNAGS 2025 akan berlangsung di 14 negeri dan Wilayah Persekutuan, dengan pusingan pembukaan dijadualkan bermula di Kelab Golf dan Country Kota Permai pada 28 Februari.

Pertandingan ini akan mencapai kemuncaknya dengan final kebangsaan di Saujana dari 28 hingga 30 September.



Source link

OR

Scroll to Top