Lievin: Jakob Ingebrigtsen dari Norway yang juga pemenang pingat emas Olimpik menerusi acara 5,000m, mencipta rekod baharu dunia dalam dewan bagi acara satu batu (1,609 meter) dengan catatan masa 3 minit 45.14 saat di kejohanan yang berlangsung di utara Perancis.
Ingebrigtsen yang berusia 24 tahun, pemenang pingat emas Olimpik 2020 dalam acara 1,500m, menyertai kejohanan itu dengan sasaran memecahkan rekod 3:46.63s yang dicatatkan oleh Yared Nuguse dari Amerika Syarikat di Millrose Games, New York Sabtu lalu.
“Rasanya amat menakjubkan.
“Inilah yang berlaku di Lievin. Saya sangat gembira. Anda perlu fokus sepanjang perlumbaan. Ia sukar, tetapi berbaloi,” kata Ingebrigtsen, yang sebelum ini tidak pernah berlumba jarak itu di dalam dewan.
Dia juga memecahkan rekod dalam dewan untuk 1,500m yang dia lakukan di trek yang sama tiga tahun lalu, dengan catatan 3:29.63s dan kemudian bertahan hingga separuh pusingan terakhir untuk menambah rekod bagi jarak satu batu itu.
Ingebrigtsen adalah atlet pertama sejak John Landy pada 1954 untuk mencatatkan rekod dunia bagi jarak satu batu dan 1,500m dalam perlumbaan yang sama.
Sementara itu, Grant Holloway, juara Olimpik 110m berpagar, memenangi acara 60m berpagar dengan mudah.
Juara dunia dua kali itu menewaskan Wilhem Belocian dari Perancis dengan catatan 7.36s, masa terbaik musim ini.
Kemenangan ini adalah persediaan sempurna untuk atlet berusia 27 tahun ini menjelang Kejohanan Eropah (6-9 Mac di Apeldoorn, Belanda) dan Kejohanan Dunia Dalam Dewan (21-23 Mac di Nanjing, China).
© New Straits Times Press (M) Bhd