Seoul: Pemergian menyedihkan pelakon, Kim Sae Ron, 24, kelmarin terus menjadi bualan dan terbaru sikap terpujinya didedahkan seorang wartawan sehingga mendapat perhatian.
Kwon Nam Young melaporkan pelakon itu berusaha sebaiknya untuk membersihkan namanya selepas terbabit kes memandu di bawah pengaruh alkohol pada 2022.
Secara terperincinya, laporan itu menyatakan Kim melawat sendiri dan membayar ganti rugi 57 premis di lokasi yang terjejas akibat tindakan lalainya itu sehingga menyebabkan kemalangan.
Insiden itu berlaku pada 18 Mei 2022 di mana Kim terbabas melanggar ‘transformer’ di Gangnam sebelum keretanya melanggar pokok. Namun, pelakon itu kemudian melarikan diri.
Disebabkan kemalangan itu, banyak premis berdekatan menanggung kerosakan selepas ‘transformer’ itu gagal berfungsi. Lokasi terbabit turut terputus bekalan elektrik dan urusan pembayaran dalam talian terjejas.
Sejurus itu, Kim mengaku salah dan membuat permohonan maaf secara terbuka. Dia menyampaikannya menerusi sebuah surat tulisan tangan di Instagram dan kesilapannya itu tidak boleh dimaafkan.
Dia juga berjanji mahu menebus situasi kerosakan yang disebabkan kemalangan itu.
Dia ternyata menunaikan janjinya dan seorang pemilik premis yang terjejas mengaku terkejut sewaktu pelakon itu melawatnya untuk memohon maaf secara bersemuka.
Selepas kejadian itu, dia menderita akibat masalah kewangan selain karier seninya terjejas teruk. Dia berdepan penalti daripada pelbagai jenama dan diminta membayar ganti rugi.
Kim juga sebenarnya sudah berusaha cuba kembali memulakan karier seni, namun tuah tidak memihak kepadanya. Kecaman terus dilemparkan terhadapnya sehingga memberi kesan kepadanya.
Terdahulu, pelakon popular yang membintangi filem The Man from Nowhere dan The Neighbours itu ditemui meninggal dunia di rumahnya di Seongsu-dong, timur Seoul, kelmarin.
Sae-ron ditemui sekitar jam 4.55 petang (waktu tempatan) oleh seorang rakan yang merancang untuk bertemu dengannya.
Disebabkan gagal menghubungi Sae-ron, rakannya itu kemudian menelefon polis.
“Kami tidak menemui tanda-tanda perbuatan jenayah setakat ini tetapi kami sedang menyiasat punca kematiannya,” demikian kenyataan pihak polis.
© New Straits Times Press (M) Bhd