RM4.8 juta kompaun dikeluarkan di bawah akta kawalan produk merokok

RM4.8 juta kompaun dikeluarkan di bawah akta kawalan produk merokok



hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Sebanyak 19,340 kompaun bernilai kira-kira RM4.8 juta dikeluarkan kepada pemilik premis dan individu di bawah penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Kompaun itu dikeluarkan sejak 1 Oktober 2024 hingga 31 Januari lalu, membabitkan kesalahan mengikut Seksyen 47 Akta 852.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sepanjang tempoh itu juga pihaknya menjalankan 7,228 operasi, dengan 142,158 premis diperiksa di seluruh negara.

“Selain itu, sebanyak 162,229 penguatkuasaan pendidikan dilakukan sepanjang tempoh sama,” katanya pada sidang media selepas operasi penguatkuasaan bersepadu bagi Akta 852 dan Akta Makanan 1983 (Akta 281) di Sungai Besi, di sini, malam ini.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya mengeluarkan 1,430 notis kesalahan mengikut Seksyen 16 iaitu larangan merokok di kawasan larangan dalam 160 operasi di Kuala Lumpur dan Putrajaya sejak 1 Oktober tahun lalu sehingga 3 Februari lalu.

Katanya, tiga notis juga dikeluarkan bagi kesalahan mengikut Seksyen 18 akta sama.

“Dalam operasi kali ini yang dijalankan sejak 5 Februari lalu hingga hari ini sebanyak 299 premis di pasar malam dan kawasan sekitarnya diperiksa dan susulan itu sebanyak 105 notis kesalahan dikeluarkan mengikut Akta 852 dan Akta 281.

“Kesalahan mengikut Akta 852 membabitkan masing-masing satu notis kesalahan mengikut Seksyen 10 dan Seksyen 12, 62 notis bagi kesalahan di bawah Seksyen 16 dan tiga notis di bawah Seksyen 18.

“Manakala kesalahan mengikut Akta 281, sebanyak 38 notis dikeluarkan bagi kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” katanya.

Pada operasi itu, Dzulkefly juga menyampaikan pengiktirafan ‘Bersih dan Selamat’ (BeSS) kepada empat premis makanan yang memenuhi keperluan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Katanya, sehingga Disember tahun lalu sebanyak 13,307 premis makanan sudah mendapat pengiktirafan BeSS di seluruh negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top